Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ajaran sesat di Perak berasal dari negeri jiran - Polis
Diterbitkan:  Feb 13, 2022 12:27 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Kegiatan ajaran sesat yang dikenal pasti berlaku di Perak, disyaki berasal dari negeri jiran dan bertapak di daerah Muallim, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

"Ada satu kumpulan yang kita kenal pasti di (daerah) Muallim, kumpulan ini sebenarnya bergerak dari negeri jiran kemudian mereka membuat penempatan di Muallim,” katanya tanpa mendedahkan nama negeri jiran tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kayuhan Reunion antara Cliffordian Cycle Team (CCT) dengan Old Cliffordian Association (OCA) di Dataran Pavillion di Kuala Kangsar hari ini.

Mior Faridalathrash bagaimanapun berkata pihaknya enggan mengulas lanjut mengenai kumpulan itu kerana siasatan dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Khamis lepas, polis mengesan kegiatan ajaran sesat di Perak berdasarkan video yang tular sebelum ini namun tidak mendedahkannya secara terperinci kerana masih dalam siasatan.

Pada Januari lepas, seorang lelaki memuat naik video secara penstriman langsung menerusi laman Facebook miliknya mendakwa kononnya berlaku perhimpunan ulama serta kemunculan Imam Mahdi di Sabah serta menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Kuala Kangsar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS