Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tuduhan firma guaman, rakan kongsi cuba perkecil isu gangguan seksual'

Nota Editor: Malaysiakini tidak mendedahkan nama pihak yang terlibat dalam saman itu untuk melindungi identiti plaintif seperti yang diminta.


Pernyataan pembelaan sebuah firma guaman dan rakan kongsi kanan (senior partner) terhadap saman gangguan seksual mengandungi dakwaan tidak relevan yang bertujuan untuk mengalihkan daripada isu sebenar, menurut pemfailan mahkamah.

Menerusi jawapan bertarikh pertengahan Disember tahun lalu, seorang peguam berusia 27 tahun berpendapat bahawa dakwaan yang terkandung dalam pernyataan pembelaan itu terhadap samannya bertujuan untuk menjejaskan kredibilitinya dan keseriusan aduannya mengenai dakwaan gangguan seksual.

Tindakan undang-undang itu menamakan rakan kongsi kanan lelaki berusia 44 tahun dan firma guaman itu masing-masing sebagai defendan pertama (D1) dan kedua (D2).

"Pembelaan D1 tersebut terdiri sebahagian daripada pernyataan-pernyataan fakta dan sebahagian daripada keterangan dan hujahan-hujahan.

"Pembelaan D2 tersebut juga mengandungi pelbagai tuduhan-tuduhan yang tidak relevan kepada tuntutan yang dinyatakan di PT (pernyataan tuntutan saman), tetapi dirancang untuk menyerang perwatakan dan kredibiliti Plaintif, legitimasi atau kegawatan (‘gravity’) tuduhan-tuduhan di PT dan/atau untuk memperkecilkan (‘detract’) isu-isu sebenar yang dipertikaikan.

"Plaintif mengehadkan plid beliau kepada pernyataan-pernyataan mengenai fakta-fakta material sahaja dan tidak membuat apa-apa pengakuan kepada mana-mana keterangan, hujahan dan tuduhan yang dinyatakan di Pembelaan D1 tersebut melainkan di mana yang sebaliknya dinyatakan," tegasnya dalam jawapannya.

Pada 28 Okt tahun lepas, peguam itu memfailkan tindakan undang-undang berhubung gangguan seksual yang didakwa dialaminya di tangan rakan kongsi kanan ketika berada di firma guaman itu antara Disember 2018 hingga Disember 2019.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 2 Dis tahun lalu, rakan kongsi kanan berusia 44 tahun itu menafikan melakukan gangguan seksual terhadap plaintif, sebaliknya mendakwa antara lain cubaan peguam wanita itu untuk meletakkan jawatan ketika itu didorong oleh ketidakupayaan untuk bekerja dengan orang lain di firma guaman berkenaan.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Nov tahun lepas, firma guaman itu mendakwa peguam wanita itu tidak pernah membangkitkan sebarang aduan gangguan seksual semasa berada di sana. Firma itu juga berkata dia tidak menggunakan prosedur yang mencukupi dan betul dalam firma itu untuk melaporkan dakwaan gangguan seksual.

Firma guaman itu juga berpendapat bahawa plaintif, apabila dia dipanggil ke Badan Peguam untuk didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara pada 12 Feb 2020, sebaliknya "menyatakan rasa terima kasihnya" atas "pengalaman, peluang, dan bimbingan yang diberikan kepadanya”.

Tidak mengetahui mekanisme aduan

Dalam pemfailan mahkamah terbaru yang dilihat oleh Malaysiakini, peguam wanita itu merujuk kepada pelbagai dakwaan tidak relevan dalam pernyataan pembelaan kedua-dua defendan, antaranya mendakwa salinan samannya disebarkan dalam talian melalui WhatsApp.

Dalam menyangkal dakwaan bahawa dia tidak dapat bekerja dengan orang lain di firma itu, peguam itu menegaskan bahawa pelbagai percubaannya untuk meletak jawatan antara 18 Okt 2019 dan 30 Nov 2019 berpunca daripada "trauma emosi dan mental yang dia alami daripada kelakuan D1 dan/ atau persekitaran kerja yang menyinggung perasaan, bermusuhan, menakutkan, memalukan dan menyusahkan di D2, termasuk tetapi tidak terhad kepada kelakuan D1”.

Dia berhujah bahawa dia tidak membangkitkan isu gangguan seksual yang didakwa oleh rakan kongsi kanan itu kerana pengaruh yang dipegang peguam berusia 44 tahun itu dan firma itu ke atasnya semasa dia bekerja di sana.

Dia mendakwa bahawa semasa chambering dan kemudian bekerja dalam tempoh yang singkat dengan firma guaman itu, dia tidak mengetahui firma itu mempunyai sebarang mekanisme aduan dan penyiasatan untuk gangguan seksual dan firma itu juga tidak pernah memaklumkannya tentang kewujudan mekanisme sedemikian.

"Tarikh akhir pekerjaan secara fizikal antara Plaintif dengan D2 adalah pada 13 Dis 2019, dua bulan sebelum beliau akan diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia.

"Kedudukan-kedudukan berkuasa (‘positions of power’) dan kawalan, kekuasaan atau pengaruh di mana D1 dan/atau mana-mana rakan kongsi D2 mempunyai ke atas pekerjaan Plaintif atau mungkin berterusan untuk mempunyai terhadap beliau selepas beliau meninggalkan penggajian D2, termasuk perkara-perkara berkaitan dengan penerimaan masuk beliau ke Badan Peguam Malaysia; ketiadaan persekitaran yang dengan tidak ragu-ragu (‘unequivocally’) mengecam Tindakan D1 dan (iii) ketiadaan sistem aduan dan siasatan yang mencukupi dan sulit, atau sama sekali, menghalang Plaintif daripada menyuarakan Tindakan D1 kepada D2 dan/atau rakan-rakan kongsinya pada masa yang material dan/atau dalam notis-notis perletakkan jawatan beliau.

"Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas dan yang dinyatakan dalam PT, Plaintif menafikan dakwaan-dakwaan bahawa alasan-alasan di belakang perletakan-perletakan jawatan beliau adalah kononnya ketidakupayaan beliau untuk bekerja dengan atau bergaul dengan seorang rakan sekerja, untuk menyesuaikan diri ke dalam pasukan D1 dan/atau untuk menguruskan kerja beliau," kata peguam itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS