Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga pelajar Nigeria mohon batal keputusan koroner - mati sebab semulajadi

Keluarga Thomas Orhions Ewansiha sedang berusaha untuk membatalkan keputusan koroner bahawa pelajar PhD dari Nigeria itu meninggal dunia atas sebab semula jadi semasa dalam tahanan Imigresen dua tahun lalu.

Mereka memfailkan permohonan semakan jenayah terhadap keputusan Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 12 Nov, yang memutuskan pihak berkuasa imigresen tidak bertanggungjawab atas kematian tahanan Ewansiha.

Peguam keluarga Rajesh Nagarajan mengesahkan permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Nov, dengan sebutan perkara itu pada hari ini.

“Permohonan semakan jenayah telah difailkan pada 26 Nov 2021, melalui surat oleh Tetuan Raj & Sach (firma guaman mewakili keluarga Ewansiha) terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen (berfungsi sebagai Mahkamah Koroner) Mahyon Talib bertarikh 12 Nov 2021. .

“Perkara itu didaftarkan dan ditetapkan untuk sebutan pada 10 Dis 2021 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi YA (Yang Arif) Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur 7, di (Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur) di Jalan Duta.

"YA mengarahkan sebutan seterusnya ditetapkan pada 18 Feb 2022, jam 9 pagi di hadapan YA, untuk mengemas kini mahkamah yang mulia mengenai status Nota Prosiding," kata Rajesh.

Menurut salinan surat permohonan semakan jenayah yang dihantar oleh firma guaman Raj & Sach ke Mahkamah Tinggi, peguam keluarga itu memetik 11 faktor yang didakwa gagal dipertimbangkan oleh Mahkamah Koroner semasa membuat keputusan.

Antaranya, dakwaan Ewansiha ditangkap secara menyalahi undang-undang pada Julai 2019; rasuah oleh pihak berkuasa; dia telah dinafikan akses perubatan yang sewajarnya semasa bawah jagaan pihak berkuasa; dia telah diarahkan melompat (melompat katak) beberapa kali tanpa mengambil kira masalah kesihatannya; dan keadaan sel tahanan Imigresen yang berbahaya bagi mana-mana tahanan.

Pada 12 Nov, Mahyon memutuskan Ewansiha meninggal dunia atas sebab semula jadi ketika dalam tahanan Imigresen dua tahun lalu.

Mahyon juga memutuskan bahawa kematian Ewansiha pada 2019 tidak boleh disimpulkan berpunca daripada kecuaian atau unsur jenayah.

Ewansiha, yang merupakan pelajar kolej swasta di lembah Klang berusia 34 tahun, meninggal dunia di Depot Tahanan Jabatan Imigresen di Bukit Jalil pada awal pagi 9 Julai 2019, selepas ditahan lima hari sebelum itu.

Tiga hari kemudian pada 12 Julai, Jabatan Imigresen mengesahkan kematian tersebut.

Pihak Imigresen mendakwa pelajar itu ditahan pada 4 Julai tahun itu semasa operasi Imigresen di Pangsapuri Desa Aman Puri.

Dia kemudian direman selama 14 hari untuk mengesahkan dokumennya dan mendapatkan pengesahan daripada kolej mengenai rekod kehadirannya serta butiran kursusnya.

Isteri mangsa, Blessing Uhunoma Eriamiator, menggesa inkues diadakan berhubung kematian Ewansiha.

Pendengaran inkues kemudian didaftarkan di mahkamah pada November.

Keluarga mendiang mendakwa Ewansiha telah meminta bantuan perubatan selama tiga hari sebelum kematiannya.

Portal berita dalam talian Free Malaysia Today melaporkan keluarga si mati akan memfailkan tindakan sivil atas kematiannya, tanpa mengira keputusan inkues itu.

[Baca laporan asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS