Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan negeri perlu lindung hutan, bukan jadi pemudah cara kemusnahannya'
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 11:12 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan Selangor agar teru melindungi hutan simpan kekalnya dan mematuhi proses sepatutnya ketika melakukan nyah warta.

Presidennya AG Kalidas berkata, pihaknya "amat khuatir" dengan Exco Selangor Hee Loy Sian yang dilaporkan berkata, sebahagian kawasan hutan simpan di Shah Alam telah "dinyah warta" kerana hak milik tanah telah diberikan kepada pemaju swasta.

Kalidas menggesa kerajaan negeri menegakkan kedaulatan undang-undang dan membangkitkan Seksyen 13(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang menyatakan sebarang pengeluaran kawasan daripada status hutan simpan kekal hendaklah disiarkan dalam warta.

"Selagi hutan simpan kekal tidak dikeluarkan menerusi penerbitan notis dalam warta kerajaan, kawasan itu - dalam kes ini, Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah di Seksyen U10 - terus kekal sebagai hutan simpan kekal.

"Maka, Badan Peguam Malaysia amat khuatir dengan pendirian kerajaan negeri seperti yang disuarakan Hee.

"Kes ini membangkitkan isu perundangan asas. Kerajaan negeri perlu menunjukkan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang. Ia tidak boleh merujuk kepada pendirian de facto (bahawa pemilikan tanah telah diberikan kepada pemaju swasta) sebagai penentu pendirian de jure (yang sah di sisi undang-undang).

"Kenyataan bahawa pengeluaran dibuat oleh pentadbiran sebelumnya tidak memberi jawapan kepada orang awam yang bimbang dengan isu ini," katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, kata Kalidas, pihaknya menggesa semua kerajaan negeri agar mengendalikan sebarang pengeluaran status hutan simpan kekal secara berhemat dan berwaspada untuk melindungi hak asasi manusia pada masa ini dan generasi akan datang.

"Kerajaan negeri perlu menjadi pelindung alam sekitar, bukannya pemudah cara kepada kemusnahannya. Jika proses sewajarnya dalam pengeluaran status hutan simpan kekal tidak dipatuhi, kerajaan negeri pelru mengambil pendirian yang statusnya kekal dilindungi," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika mengulas laporan The Star pada 23 Oktober lalu yang memetik Hee sebagai berkata, "jika plot tanah yang dimaksudkan tidak dinyah warta, pemilikan tanah tidak akan diberikan."

Hee berkata demikian ketika menjawab kenyataan NGO Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) bahawa bahagian dalam Hutan Simpan Bukit Cherakah yang akan dibangunkan masih boleh menjadi sebahagian hutan simpan kerana ketiadaan notis Warta Kerajaan Negeri.

Dalam kenyataan sebelumnya, Hee berkata nyah warta kawasan itu dibuat pada 2006 dan pihak yang membantahnya patut membangkitkan soal ketiadaan notis itu kepada pentadbiran BN pada masa itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS