Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Najib tak minta pindaan audit dibuat terhadap projek KLIA2

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah meminta pindaan dibuat terhadap laporan audit khas mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Sebelum ini, prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan mendengar keterangan saksi pendakwaan berhubung dakwaan Najib meminta pindaan pada laporan audit khas 1MDB, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di parlimen pada Mac 2016.

Pada bulan Mei 2015, menteri pengangkutan ketika itu, Liow Tiong Lai dilaporkan berkata kabinet ketika itu menyokong audit dibuat terhadap lapangan terbang KLIA2 untuk syarikat penerbangan tambang rendah di Sepang. Najib merupakan perdana menteri dari 2009 hingga 2018.

Pembinaaan KLIA2, yang dimulakan pada tahun 2012 dan dibuka kepada umum pada tahun 2014, berdepan dakwaan berlaku peningkatan kos terhadap projek berkenaan.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram hari ini, saksi pendakwaan ketujuh Saadatul Nafisah menjelaskan bahawa laporan audit khas mengenai projek 1MDB dan KLIA 2 dianggap bersifat siasatan.

Dia berkata, ini kerana tidak seperti audit biasa yang dijalankan oleh JAN sendiri, laporan audit khas diminta oleh kabinet atau PAC, dan juruaudit diberi kuasa untuk tidak hanya mencari maklumat dari pihak diaudit tetapi juga daripada pihak lain.

Sri Ram: Kamu menggambarkan ini (1MDB) sebagai audit khas. Adakah ini kali pertama kamu (JAN) melakukan ini?

Saadatul Nafisah: Tidak. Kami telah melakukan beberapa kali sebelum ini. Ada yang diminta oleh kabinet mengenai (projek) KLIA 2.

Sri Ram: Siapa perdana menteri ketika audit itu (KLIA 2) dilakukan?

Saadatul Nafisah: Najib.

Sri Ram: Adakah tertuduh kedua (Najib) meminta salinan laporan (KLIA 2) atau meminta pindaan pada laporan itu?

Saadatul Nafisah: Tidak.

Perbicaraan di hadapan Zaini akan disambung pada 29 Nov.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum diserahkan kepada PAC untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.

Seorang lagi tertuduh, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang menetapkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan berhujah keputusan untuk membuat pindaan itu dibuat dalam mesyuarat pada 24 Februari 2016 di pejabat ketua setiausaha negara, Ali Hamsa ketika itu.

Ia didakwa dilakukan dengan niat untuk menghapus atau mengubah bahagian tertentu daripada laporan audit 1MDB, termasuk kehadiran ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarahnya.

Selain Ali, Arul Kanda dan Saadatul, turut hadir dalam mesyuarat itu ialah bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang; bekas ketua setiausaha peribadi Najib, Shukry Salleh dan wakil Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS