mk-logo
Berita
KJ arah KKM adukan ciapan antivaksin ke PDRM, SKMM
Diterbitkan:  Oct 8, 2021 7:56 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengarahkan kakitangan kementerian itu membuat laporan polis berhubung ciapan seseorang yang dianggap menyebar berita palsu.

Mengumumkan langkah itu di Twitter, Khairy berkata ada masa boleh diluangkan untuk mendidik orang ramai dan libat urus (engage) berhubung vaksinasi Covid-19.

"Tetapi di sana juga ada waktu untuk menguatkuasakan undang-undang," ciapnya di Twitter petang tadi.

Menurut Khairy laporan itu dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung hantaran seseorang yang menggunakan akaun @khalids.

Hantaran itu kata Khairy menyebarkan berita palsu berkenaan vaksinasi Covid-19.

"Cukup-cukuplah pembohongan," ciapnya.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini kemudiannya mendapati akaun @khalids itu sudah tidak dapat diakses lagi kerana dipercayai dinyah aktif kira-kira jam 6.10 petang.

Diambil tanpa dapat izin

Ketika menteri terbabit tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai laporan berkenaan, jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia memberitahu, ia melibatkan hantaran mengenai senarai yang meninggal dunia baru-baru ini.

Netizen berkenaan didakwa menyebarkan senarai berkenaan di media sosial sambil mendakwa guru berkenaan meninggal dunia kerana mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Namun ada netizen lain - dipercayai anak perempuan kepada salah seorang guru terbabit - membalas ciapan @khalids sambil menafikan dakwaan tersebut.

"Data ini salah. Arwah ayah saya meninggal dunia bukan diseabkan vaksin.

"Data itu hanya diambil dari media sosial, tanpa sebarang pertanyaan atau mendapatkan izin daripada keluarga kami.

"Kemudian membuat kesimpulan ayah saya meninggal kerana vaksin. Ini sangat melampau," kata @IntanFaziera5.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS