Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam tambah ahli majlis dari 12 kepada 16 orang

Badan Peguam Malaysia memutuskan untuk menambah bilangan ahli majlisnya daripada 12 kepada 16 orang mulai pemilihan yang akan datang.

Dalam mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM) hari ini, Badan Peguam juga meluluskan usul mahukan undang-undang yang "secara automatik menyingkirkan” wakil rakyat yang berpaling tadah daripada parti yang menjadi wadah mereka bertanding.

Mereka kemudian meluluskan resolusi agar Malaysia menghentikan diskriminasi terhadap anak-anak berdasarkan status perkahwinan atau jantina ibu bapa warganegara Malaysia mereka.

Daripada sembilan usul yang dibincangkan dalam EGM hari ini, tiga telah diluluskan.

Ditemui media selepas EGM itu, Presiden Badan Peguam, AG Kalidas, memberitahu mereka akan memaklumkan kepada ahli-ahli mengenai jumlah keanggotaan baru yang akan dipilih bagi penggal 2022/2023.

"Kami hanya perlu menghantar notis kepada semua anggota mengenai berapa banyak yang akan dipilih untuk pemilihan bagi tahun 2022/2023.

"[...] Prosesnya sama, hanya bilangan (anggota majlis) yang berubah," jelasnya di Wisma Badan Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Usul itu untuk menambah jumlah ahli majlis dibuat kerana pertambahan keanggotaan, ahli jawatankuasa majlis dan calon pemilihan majlis sejak ia ditubuhkan pada 1977.

Mengenai resolusi lompat parti, selain memutuskan perlunya digubal undang-undang baru supaya mereka yang berpaling tadah disingkirkan, EGM hari ini turut juga memutuskan supaya pilihan raya baru diadakan selepas berlakunya pembelotan.

Ia tidak mengambil kira sama ada wakil rakyat terbabit membelot dengan menukar parti atau mengubah status masing-masing sebagai Adun atau ahli parlimen bebas.

Undang-undang yang lebih terperinci diperlukan supaya pengundi boleh menyingkirkan ahli parlimen atau Adun mereka atas faktor telah hilang kepercayaan.

"(Ini) seperti hak anggota parlimen untuk menukar perdana menteri, yang menyebabkan pilihan raya diadakan serta-merta untuk rakyat memilih ahli parlimen atau Adun mereka secara demokratik,” kata resolusi itu.

EGM juga meluluskan usul mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya diberikan kuasa menyiasat dan mendakwa mereka yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Badan Peguam juga mahu agar undang-undang yang melarang bekas banduan atau yang dikenakan denda tertentu untuk mencalonkan diri selama beberapa tahun dihapuskan.

Resolusi ketiga yang diluluskan ialah melindungi hak anak-anak dan menghapuskan diskriminasi gender dalam undang-undang Malaysia.

Mereka memutuskan bahawa Malaysia tidak boleh mendiskriminasi seseorang anak itu sekiranya mereka tidak dilahirkan dalam perkahwinan yang didaftarkan secara sah.

Mereka juga menyokong usul meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan wanita Malaysia mempunyai hak yang sama dengan lelaki Malaysia dalam memperolehi kewarganegaraan untuk anak mereka.

EGM hari ini dihadiri 2,735 anggota Badan Peguam.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS