Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah membuat laporan polis berhubung satu hantaran di portal pelaburan dalam talian yang disifatkan sebagai “tidak berasas dan tidak benar.”
Artikel bertajuk “MOH sold, and Malaysia for sale? MYEG Bhd sponsored the BP Healthcare and MAHB Covid-19 scam endorsed by DG Tan Sri Noor Hisham Abdullah?” telah disiarkan di blog komuniti portal klse.i3investor.com pada 3 Julai 2021.
“Laporan polis telah dibuat berdasarkan dakwaan dalam hantaran berkenaan yang bukan sahaja tidak berasas dan tidak benar, tetapi turut berniat jahat dengan tujuan merosakkan reputasi dan integriti MAHB dan ketua pegawai eksekutif kumpulannya,” menurut pengendali lapangan terbang itu menerusi kenyataan semalam.
Selain laporan polis, MAHB berkata ia turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta mengeluarkan surat henti kepada pemilik portal untuk meminta supaya artikel itu dipadamkan.
“Kami juga menuntut agar penulis berhenti daripada membuat sebarang kenyataan selanjutnya mengenai perkara itu,” katanya, sambil memaklumkan MAHB memandang serius mengenainya “memandangkan hantaran itu telah memberi nama buruk kepada organisasi dan merendahkan imejnya di mata masyarakat dan pihak berkepentingan.”
Hantaran itu telah dikeluarkan daripada portal berkenaan.
- Bernama