ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DOJ Filipina dakwa Malaysia enggan beri kerjasama siasatan bekas Datuk Bandar
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Jabatan Kehakiman Filipina (DOJ) mendakwa Malaysia enggan bekerjasama dalam siasatannya terhadap pelarian bekas Datuk Bandar Alice Guo, yang dipercayai telah pergi ke Malaysia sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk melarikan diri dari Filipina.

Setiausaha Kehakiman Filipina Jesus Crispin Remulla berkata pihak berkuasa Malaysia enggan memberikan maklumat penting yang diminta, seperti rekod penerbangan dan butiran penerbangan yang dinaiki Guo.

"Malaysia sepatutnya memberi kami maklumat itu. Mereka tahu penerbangan dan pesawat apa yang dinaiki, ke mana dia pergi, tetapi mereka enggan memberikannya kepada kami," kata Remulla seperti dipetik The Daily Tribune.

Dia menambah bahawa walaupun kerajaan Filipina telah "menggunakan semua usaha diplomatik" dalam permintaannya kepada Malaysia, ia tetap gagal mendapatkan kerjasama.

Remulla juga dilaporkan mendakwa bahawa keengganan Malaysia untuk membantu siasatan itu dikaitkan dengan keputusan mahkamah menolak anugerah timbang tara AS$14.9 bilion (RM62.5 bilion) kepada waris kesulatanan Sulu.

ADS

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri untuk maklum balas terhadap dakwaan tersebut.

Guo, juga dikenali sebagai warganegara China Guo Hua Ping, telah menjadi tumpuan siasatan selepas didakwa melarikan diri dari Filipina di tengah-tengah dakwaan serius penglibatan dalam operasi perjudian luar pesisir secara haram dan pemerdagangan manusia.

Dakwaan itu dibuat selepas jawatankuasa senat melancarkan siasatan ke atasnya pada Mei 2024 berikutan serbuan kasino yang mendedahkan perkara yang disifatkan penguatkuasa undang-undang sebagai penipuan yang dijalankan dari kemudahan di tanah yang sebahagiannya dimiliki Guo.

Susulan keengganannya untuk menghadiri siasatan kongres berhubung dakwaan hubungannya dengan sindiket jenayah China, dia difahamkan telah melarikan diri dari Filipina tahun lalu dengan pergi ke Malaysia, Singapura dan kemudian Indonesia menggunakan pasport Filipinanya.

Walaupun Biro Imigresen Filipina masih tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana dia berjaya meninggalkan negara itu, ia menegaskan bahawa Guo tidak melalui saluran rasmi apabila dia meninggalkan Filipina.

Guo akhirnya ditangkap di Indonesia sebelum dihantar pulang ke Filipina, di mana DOJ telah meluluskan pemfailan 62 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya dan 31 yang lain atas tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk membenarkan perjudian luar pesisir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS