Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.
N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.
Bagaimanapun, kata Surendran, pertikaian muncul kerana tindakan DBKL pada masa lalu.
Katanya, pada tahun 2008, DBKL mengarahkan kuil itu—yang dibina pada tahun 1893—berpindah beberapa meter ke lokasi di mana ia kini berada.
Kemudian pada tahun 2014, DBKL menjual tanah tersebut—didakwa tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil.
“Kerajaan bertanggungjawab menyelesaikan isu ini kerana mereka yang menjual tanah ini kepada syarikat swasta pada 2014.
“Jadi tak betul untuk menyalahkan jawatankuasa kuil dengan cara apa pun,” kata Surendran pada sidang media di pejabat LFL di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
“Ia juga mengetepikan perkembagan sejarah tentang bagaimana rumah-rumah ibadat dibina dalam komuniti yang bekerja keras membina negara ini berdekad-dekad yang lalu,” katanya lagi.

Naib ketua jawatankuasa kuil Raj Mohan Pillai sekali lagi berkata mereka tidak dimaklumkan berkenaan penjualan tanah pada 2014 sehinggalah dua tahun selepas itu, apabila DBKL dan pemilik memulakan usaha pemindahan.
“Ini sangat tak adil untuk kami dan masyarakat India di kawasan Masjid India, yang berkunjung dan bersembahyang di kuil ini.
“Kuil ini juga menjadi pusat kebudayaan di kawasan Masjid India dan mengadakan kelas tarian (Bharatanatyam) dan nyanyian (Sangetham) setiap minggu, serta sesi yoga dan Thevaram untuk kanak-kanak dan juga dewasa,” katanya lagi.
Raj Mohan berkata jika kuil itu diruntuhkan atau dipindah daripada tapak itu, ia akan memadamkan identiti masyarakat pelbagai budaya di Masjid India.
Pemilik tanah sekarang, Kumpulan Jakel, merancang untuk membina masjid di tapak tersebut, mencetuskan kebimbangan bahawa kuil dan warisan 130 tahunnya akan diroboh.
Bagaimanapun, DBKL dan Jakel hari ini memberi jaminan tiada perobohan akan dilakukan sehingga kuil tersebut dipindahkan.
[Beria penuh menyusul]