ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap cadangan untuk mengehadkan tempoh seseorang perdana menteri memegang jawatan tersebut kepada dua penggal saja.

Menurut Mahathir ada cara lain untuk membolehkan seseorang perdana menteri diketepikan daripada jawatan tersebut dan menetapkan tempoh tertentu bukanlah pendekatan yang betul.

Menjadikan dirinya sendiri sebagai perbandingan, Mahathir berkata, apabila menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini pun, masih banyak rancangan yang ingin dilaksanakannya tidak dapat diselesaikan.

Tambah ahli politik yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali pada dua era berbeza itu, yang penting bukanlah berapa lama seseorang menjadi ketua kerajaan kerana individu terbabit boleh saja dijatuhkan apabila melakukan sesuatu yang tidak betul.

ADS

Tugas tersebut, kata Mahathir, terletak pada tanggungjawab ahli-ahli parlimen tanpa mengira berapa lama seseorang itu menjadi perdana menteri.

“Kalau itu amalan kita – pendekkan masa kepada 10 tahun – saya yakin tak berkesan.

“Banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya kepada media di majlis berbuka puasa di Putrajaya semalam.

Cadangan sama pernah ada

Cadangan agar seseorang perdana menteri ditetapkan hanya berkhidmat selama dua penggal – atau 10 tahun – disuarakan semasa kongres tahunan DAP di Shah Alam hujung minggu lalu.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kemudian menyambutnya dan menyatakan kesediaan kerajaan bergerak ke arah itu namun memerlukan sokongan dua per tiga ahli Dewan Rakyat bagi meminda perlembagaan.

Ia mendapat bantahan daripada sesetengah termasuk pembangkang.

Untuk rekod rancangan sebegitu memang dinyatakan dalam manifesto PH sebagai tawaran mereka semasa menyertai PRU lalu.

Anwar Ibrahim

Malah lebih lama daripada itu, saranan berkenaan dibangkitkan seawal 1999.

Ketika itu ia turut disokong oleh PAS yang menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang dikenali sebagai Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Muhyiddin Yassin juga pernah menyatakan cadangan mengehadkan tempoh perdana menteri kepada maksimum dua penggal semasa cuba mendapatkan sokongan PH - yang ketika itu menjadi pembangkang - menjelang saat-saat akhir tersingkirnya dia dari Seri Perdana pada Ogos 2021.

Selain Bersatu dan BN, PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan ketika cadangan berkenaan diutarakan Muhyiddin selaku perdana menteri.

ADS

Menurut Mahathir mengehadkan tempoh tidak menjadi negara akan selamat daripada berdepan masalah.

“Kalau kurangkan penggal tetapi dia orang yang tak baik, dia masih boleh buat pelbagai benda yang rosakkan negara

“Namun kalau dia seorang perdana menteri yang berjaya, baik, dan disukai ramai, tempoh 10 tahun itu tak mencukupi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS