Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ZPP: Kasthuri cuma serah surat kelulusan, bukan bantuan zakat

“Bantuan zakat” yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto sehingga mencetuskan kekecohan baru-baru ini hanyalah surat kelulusan saja, kata Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, Amran Hazali, pada tahun ini mereka tidak memberikan bantuan Ramadan dalam bentuk kit, baucar mahupun pemindahan wang.

Sebaliknya, kata Amran, bantuan bernilai RM100 itu dimasukkan terus ke data peribadi penerima mengikut kad pengenalan mereka.

“Sebenarnya, yang disampaikan ahlli parlimen terbabit bukannnya baucar sebaliknya cuma surat kelulusan.

“Tahun ini, ZPP menggunakan sistem berbeza apabila penerima bantuan boleh membeli keperluan mereka di mana-mana lebih 30 kedai yang kami lantik dan membeli barangan bernilai sehingga RM100 dengan hanya menggunakan kad pengenalan.

“Kedai itu ada alat untuk menolak nilai bantuan yang ada dalam simpanan data kad pengenalan masing-masing," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Amran, kira-kira 12,000 penerima dipilih untuk menerima Sumbangan Bantuan Nur Ramadan oleh ZPP di semua kawasan DUN dan parlimen Pulau Pinang.

Transaksi tanpa tunai

Katanya surat-surat pemakluman dan kelulusan itu kemudian diserahkan kepada pusat khidmat DUN dan Parlimen terlibat untuk diedarkan.

Untuk urusan pengedaran surat kelulusan pula, katanya, terserah kepada pusat khidmat berkenaan sama ada mahu mengedarkannya secara terus ataupun mengadakan majlis penyerahan.

Surat tersebut - yang dilihat Malaysiakini - hanya memaklumkan penerima bahawa mereka terpilih untuk mendapat Sumbangan Bantuan Nur Ramadan bagi tahun ini.

"Sehubungan itu, tuan/puan akan menerima sumbangan RM100 bagi pembelian barangan wajib iaitu beras 5kg dan lain-lain keperluan asas tanpa tunai di kedai-kedai panel yang dilantik seperti di lampiran A dengan menggunakan kad pengenalan tuan/puan.

"Tempoh penebusan adalah bermula dari 13 April 2021 sehingga 11 Mei 2021," kata surat itu.

Semalam, Kasthuri diserang pengkritik di media sosial apabila memuat naik hantaran berhubung penyerahan surat berkenaan sehingga memaksanya memadam hantaran itu. 

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto

Antara yang dipertikaikan mereka ialah kewajaran orang bukan Islam mengedarkan bantuan daripada ZPP.

Menceritakan proses permohonan bantuan Ramadan itu, kata Amran, pejabat DUN dan Parlimen akan mendaftarkan dan memasukkan maklumat pemohon - sekitar 200 penerima diperuntukkan setiap kawasan - untuk bantuan berkenaan.

ZPP seterusnya akan menyemak kelayakan calon terbabit, dan setelah diluluskan, surat kelulusan akan dicetak dan dihantar kepada pejabat DUN dan Parlimen itu untuk diedarkan.

Langkah itu, kata Amran, dibuat kerana pejabat yang berkenaan lebih kenal pemohon yang mereka sendiri daftarkan.

“Surat ini, kami minta kerjasama (pejabat DUN dan Parlimen) untuk edarkan. Sama ada melalui majlis rasmi, atau pun cara lain - itu terpulang.

“Apa yang penting, surat itu hanya surat kelulusanm bukan baucar bukan apa, sebab memang ZPP guna sistem tanpa tunai,” katanya lagi.

Tiada campur tangan politik

Sebelum ini, pengedaran bantuan zakat Ramadan pernah beberapa kali mencetuskan kekecohan apabila wakil rakyat bukan Islam menyampaikan kit terbabit dan dianggap sesetengah pihak tidak sensitif

Mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku, kata Amran, ZPP menambah baik proses pemberian bantuan Ramadan dengan menjadikannya kepada pemindahan terus ke akaun bank penerima untuk tahun lepas, sebelum ditukarkan kepada sistem terkini yang menolak nilai wang terus daripada kad pengenalan penerima.

Malah sebelum menggunakan surat untuk memaklumkan kelulusan bantuan, ZPP menggunakan kaedah pemakluman menerusi pesanan WhatsApp dan SMS seperti dalam bantuan persekolahan sebelum ini.

Masalahnya kata Amran cara itu disalah guna sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Orang salah guna, orang pergi tularkan pesanan WhatsApp itu, sehingga yang tak berkenaan pun dapat. Jadi (sekarang) kita guna surat,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pernah berkata harus untuk orang bukan Islam diwakilkan untuk menerima atau mengagihkan zakat. 

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berpandangan tugas penyerahan zakat tidak wajar diberikan kepada orang politik bagi mengelakkan dijadikan kempen politik kepartian. 

Disoal apakah ZPP tidak mempunyai rancangan untuk mengelak penglibatan mana-mana ahli politik sama sekali dalam urusan bantuan zakat, hatta untuk penyerahan surat kelulusan, kata Amran, ia tertakluk kepada keputusan ahli Lembaga Pengarah ZPP.

"Setakat ini campur tangan politik dalam kelulusan pemberian zakat memang tak ada.

“Cuma bagi tujuan menyampaikan kadangkala ada permintaan dan ZPP seboleh mungkin cuba mengelak majlis-majlis yang melibatkan parti politik secara langsung.

“Tapi kalau atas kapasiti wakil rakyat tiada masalah selagi masyarakat dimaklumkan bahawa bantuan yang diterima adalah daripada dana zakat yang dikumpulkan daripada pembayar-pembayar zakat ZPP," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS