Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar permohonan Najib dapatkan dokumen berkaitan 1MDB 31 Mei

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB melibatkan Goldman Sachs dan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, pada 31 Mei ini.

Mahkamah hari ini menetapkan tarikh tersebut, bagi mendengar dua permohonan Najib yang dikatakan untuk menguatkan pembelaannya dalam perbicaraan pertuduhan melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang masih berlangsung.

Pada 24 Mac lalu, pasukan peguam Najib memfailkan permohonan untuk menuntut dokumen perbankan melibatkan akaun bank keluarga Zeti, yang terkait dengan dakwaan menerima wang daripada Low Taek Jho.

Zeti menafikan dakwaan itu.

Pasukan peguam Najib memfailkan permohonan tuntutan kedua, kali ini untuk mendapatkan perjanjian sulit yang ditandatangani kerajaan Malaysia dengan Goldman berkenaan di persetujuan untuk penyelesaian terhadap kesnya di Malaysia sebagai pertukaran untuk bantuan mengembalikan aset berkaitan bon 1MDB, bernilai AS$1.4 bilion.

Permohonan itu turut melibatkan dokumen mahkamah daripada perbicaraan jenayah di Amerika Syarikat, terhadap Jho Low dan bekas pegawai Goldman Roger Ng, serta transkrip atau laporan forensik perbualan telefon Tim Leissner, juga bekas pegawai Goldman di Asia.

Tarikh 31 Mei ditetapkan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Tarikh ditetapkan selepas timbalan pendakwa raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan kepada mahkamah bahawa pihaknnya memerlukan masa untuk membalas kedua-dua permohonan Najib.

Dia berkata, salinan permohonan kedua hanya diserahkan kepada pihaknya pada 12 April dan kira-kira dua minggu diperlukan untuk membalasnya.

Ketua pasukan peguam, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah pihaknya tiada bantahan terhadap permintaan pendakwaan.

Sequerah kemudian menetapkan tarikh 31 Mei untuk mendengar permohonan dan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis dan balasan selewat-lewatnya 21 Mei.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS