Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Najib fail afidavit baru untuk dapatkan dokumen bank
Diterbitkan:  Apr 9, 2021 5:37 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengemukakan afidavit baru untuk menyokong permohonannya bagi mendapatkan dokumen bank yang berkaitan dengan perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

Berdasarkan afidavit yang dikemukakan oleh pasukan peguamnnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, Najib menegaskan terdapat bukti baru yang boleh menyokong pembelaannya.

Katanya, peguamnya berusaha mendapatkan dokumen dan maklumat berkenaan yang kebanyakannya berada di luar negara.

Ini termasuk dokumen perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat (AS) terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng; dan transkrip atau laporan forensik daripada telefon Tim Leissner, yang merupakan bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia.

Ahli politik itu juga berusaha mendapatkan perjanjian sulit yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, di mana mereka bersetuju untuk penyelesaian terhadap kes Najib di Malaysia sebagai pertukaran untuk bantuannya mengembalikan aset berkaitan bon 1MDB, bernilai AS$1.4 bilion.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa maklumat yang dipohon adalah relevan dan matrial bagi tujuan perbicaraaan 1MDB dan pembelaaan saya, antara lain, bagi sebab-sebab berikut.

"Bagi perbicaraan 1MDB yang sedang berjalan, saya telah dituduh dengan 4 tuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) dan 21 tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta pencegahan Pengubahan Wang haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 berikutan dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

"Maklumat yang dipohon adalah penting dan relevan untuk semua tuduhan yang dikenakan ke atas saya dan penting bagi pembelaan saya untuk perbicaraan 1MDB," kata Najib dalam afidavit itu.

Namun, menurut Najib, kerajaan AS telah memfailkan notis usul untuk mencelah dalam permohonannya untuk mendapatkan dokumen daripada mahkamah di sana, walaupun hakim telah mengeluarkan sepina bagi mendapatkan bahan tersebut.

Tarikh belum ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah AS.

Mengenai perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, Najib berkata pendedahannya sangat penting untuk pembelaannya dan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

"Saya difahamkan melalui rencana akhbar bahawa persetujuan penyelesaian GS mempunyai klausa rahsia yang menghalang pihak-pihak untuk mendedahkan untuk mendedahkan terma-terma persetujuan penyelesaian GS, namun demikian, hak asasi saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil mengatasi klausa rahsia di dalam perjanjian persetujuan GS (Goldman Sachs).

"Walau apapun, saya memplidkan bahawa perjanjian rahsia seperti tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan polisi awam dalam perkara yang amat sekali dikatakan sebagai kes kepentingan awam dan bagi menerima pakai kenyataan bahawa kerajaan membiakkan rahsuah serta ianya menghina kepada pengadilan mahkamah terbuka.

Najib menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Pasukan peguamnya memfailkan permohonan penzahiran pada 24 Mac lalu.

Dokumen bank yang dikehendaki adalah berkaitan tuduhan yang muncul tahun lalu yang mengatakan keluarga bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Abdul Aziz menerima wang daripada Low Taek Jho. 

Zeti bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS