Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Kelantan menahan lima individu termasuk seorang bapa dan anaknya selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar, berkata dalam serbuan di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh itu pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu.

Selain itu katanya, pihak polis turut menyita tiga kereta termasuk sebuah BMW dan lima motosikal dengan nilai keseluruhan hampir RM204,000.

"Melalui serbuan pertama kira-kira jam 3.45 petang di sebuah bangsal di tepi jalan di Kampung Tok Che Dol, polis menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 28 tahun dan merampas 800 biji pil yaba bernilai RM8,000 serta menyita dua buah motosikal bernilai RM10,000.

"Hasil siasatan mendapati, tiga suspek berkenaan mempunyai satu hingga lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Ujian air kencing mereka juga menunjukkan suspek positif methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Serbuan kedua pula, kata Sheik Azhar, dilakukan di sebuah rumah di Gual Ipoh dan sepasang anak-beranak berusia 18 dan 60 tahun ditahan.

Katanya, pasangan bapa dan anak itu masing-masing ditahan ketika berada di dalam rumah dan luar rumah.

"Hasil pemeriksaan di kawasan semak di depan rumah polis menemukan 5,000 biji pil yaba, 26 botol heroin seberat 104 gram dan 100 gram syabu bernilai RM112,000.

"Selain itu polis juga merampas tiga kereta milik dua beranak ini iaitu sebuah BMW, Perodua Myvi dan Proton Satria serta tiga buah motosikal dengan nilai keseluruhan RM193,829," katanya.

Tambah Sheik Azhar, siasatan mendapati kelima-lima suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Tanah Merah sejak awal tahun lalu.

Malah katanya, kenderaan yang dirampas daripada suspek juga dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS