PARLIMEN | Kerajaan pusat dicadangkan mengambil saham dalam syarikat air negeri sekiranya sesebuah negeri itu tidak membayar balik pinjaman yang diberikan untuk tujuan mengatasi masalah pengurusan air.
Kata Dr Xavier Jayakumar (PH - Kuala Langat), industri air di negara ini sememangnya kekurangan dana, dan itu menyebabkan negeri-negeri meminta pinjaman atau geran daripada kerajaan pusat untuk digunakan dalam pengurusan air di negeri masing-masing.
Bagaimanapunun, jelas bekas menteri air, tanah dan sumber asli di zaman PH itu, berdasarkan pengalamannya, negeri-negeri berkenaan selalunya akan meminta hutang-hutang itu dihapuskan selepas beberapa tahun mengumpul hutang.
Cadangan yang disifatkannya sebagai “di luar kotak” itu, menurutnya, akan dapat mengikat negeri-negeri yang tidak membayar semula pinjaman berkenaan, dan dalam masa masa, memberi kerajaan pusat peluang untuk memantau pengurusan syarikat bekalan air dengan lebih dekat.
“Ini berlaku dan sedang berlaku di semua negeri. Bila diberi sebagai pinjaman, tak bayar balik. Selepas lima hingga 10 tahun, dia minta hapuskan pinjaman.
“Saya cadangkan, memang di luar kotak pemikiran ini ya, bila kita bagi pinjaman kepada negeri untuk atasi masalah industri air di negeri itu, kalau dia tak bayar balik, kita minta saham di dalam syarikat-syarikat air dia.
“Kita ikat dia.
“Lepas itu kita pun ada tanggungjawab dalam syarikat itu sebagai (kerajaan) pusat, dan kita boleh tengok macam mana keadaan pengurusan syarikat-syariakt air di negeri-negeri itu,” katanya.
Dia berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) di Dewan Rakyat tadi.
Jayakumar turut menegaskan pendiriannya bahawa peruntukan sebanyak lebih RM130 juta untuk bekalan air adalah tidak mencukupi untuk membaiki keadaan dan masalah yang dihadapi oleh industri air negara.
Lebih-lebih lagi, katanya, dengan masalah air yang dihadapi beberapa negeri seperti Kelantan, Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Selangor.
Jayakumar turut mengulangi saranannya ketika pernah berkhidmat sebagai menteri, bahawa kadar tarif air perlu dinaikkan.
Katanya, sekiranya tidak dibuat, industri air akan berdepan dengan masalah pengurusan kewangan pada masa yang akan datang.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui hal yang dibangkitkan itu, namun menjelaskan sekarang bukanlah masa sesuai untuk menaikkan tarif air di kala rakyat menghadapi bebanan-bebanan lain.
Dia dipercayai merujuk masalah kesempitan hidup yang dihadapi rakyat gara-gara Covid-19.