Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat individu disyaki terbabit pencemaran Sungai Selangor ditahan
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 10:44 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan di Lembah Klang sejak petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kesemua suspek yang berumur antara 33 dan 43 tahun ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, antara tengah malam tadi dan awal pagi ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek wanita adalah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang menyewa sebuah premis di Jalan Velox 2, Rawang, manakala seorang lelaki tempatan dan pekerjanya seorang lelaki Bangladesh pula menumpang stok bahan kimia di premis sewaan berkenaan.

Dalam satu kenyataan pagi ini Fadzil berkata kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis itu, yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar, dan polis akan memohon perintah reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Selayang nanti.

Beliau berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan bekalan air ke beberapa kawasan terutama di sekitar Lembah Klang terputus.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) Ir Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata pencemaran itu dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox, Rawang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS