Sembahyang jemaah dan sembahyang Jumaat hanya dibenarkan untuk warga negara sahaja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kelonggaran sembahyang di masjid atau surau turut melibatkan warga asing.
“Bila kita umumkan semalam, ia tak termasuk warga asing.
“Untuk solat Jumaat dan jemaah yang kita benarkan ini, hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Ismail berkata ia antara lain kerana jumlah kes positif Covid-19 di kalangan warga asing lebih tinggi berbanding warga tempatan, serta keutamaan kelonggaran yang diberikan kepada warga tempatan.
“Kalau warga mereka datang memenuhi masjid sampai tak ada tempat untuk warganegara kita, tak boleh.
“Jadi setakat ini hanya untuk warganegara Malaysia dan tidak untuk warga negara asing,” katanya lagi.
Mesyuarat mengenai prosedur operasi standard bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang jemaah di masjid diadakan semalam, dengan keputusannya kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, kedua-dua ibadah tersebut hanya terhad kepada 30 orang tetapi Ismail berkata mesyuarat itu, yang turut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Agama, bersetuju secara prinsip bahawa jumlahnya harus berdasarkan ukuran masjid.
Mengenai pendaftaran perkahwinan untuk warga bukan Islam, Ismail mengatakan kerajaan telah meluluskan 171 rumah ibadat untuk pendaftaran perkahwinan.
"Mereka (pasangan) tidak dibenarkan melakukan upacara pendaftaran di rumah ibadat lain, di luar senarai yang dibenarkan,” katanya.
Sebelum ini, Ismail telah mengumumkan bahawa hanya sekumpulan empat orang yang terdiri daripada pengantin perempuan, pengantin lelaki, dan dua saksi yang dibenarkan untuk perjalanan rentas negeri untuk mendaftar perkahwinan.