Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Enam negeri kekal fasa 4 PKP
Diterbitkan:  May 3, 2020 12:19 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Beberapa negeri di Malaysia masih tidak sekata dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula esok, dengan ada yang masih kekal pada Fasa Empat PKP manakala ada negeri yang menyesuaikan SOP dengan keadaan negeri masing-masing.

Sabah, Pahang, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak masih kekal pada Fasa Empat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ini berkata kerajaan negeri masih "mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei 2020."

"Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus Covid-19," kata beliau pada suatu kenyataan.

Kerajaan Pulau Pinang pula memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) namun bakal memperkenalkan strategi tiga fasa pemulihan secara berperingkat di Pulau Pinang.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow, menjelaskan tindakan tersebut dilaksanakan berlandaskan pengubahsuaian yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat serta kelangsungan sektor ekonomi negeri terjamin.

“Ini bermakna, esok iaitu pada 4 Mei 2020 PKP (perintah kawalan pergerakan) sedia ada masih berkuat kuasa di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook.

Chow menjelaskan fasa pertama strategi pemulihan iaitu peringkat persiapan akan bermula pada 4 Mei.

“4 hingga 7 Mei, fasa persiapan. Semua sektor digalakkan untuk menggunakan tempoh ini untuk merancang, menyediakan dan melaksanakan SOP bagi pelaksanaan di tempat masing-masing.

“8 hingga 12 Mei, fasa pembiasaan. Sektor yang dibenarkan perlu melaksanakan SOP dengan tegas. Semua aktiviti yang lain tidak dibenarkan, kecuali dinyatakan dengan jelas dalam jadual strategi pemulihan berperingkat yang bakal diumumkan.

“Bermula 13 Mei, fasa pembukaan. Semua sektor dibenarkan untuk beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP dengan tegas,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata pihaknya akan memperhalusi PKPB untuk disesuaikan dengan keadaan semasa negeri.

Beliau dipetik Bernama berkata ketetapan berhubung pelaksanaan PKPB di Pahang akan dimuktamadkan pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dijadualkan petang Jumaat depan (8 Mei).

"Sehingga keputusan (berhubung pelaksanaan PKPB) dibuat, semua ketetapan yang diputuskan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah masih kekal di Pahang.

"Kerajaan negeri menyokong pengumuman PKPB, namun perlu mengkajinya terlebih dahulu. Pahang juga kini menghadapi kluster baharu (COVID-19) yang memerlukan tumpuan khusus bagi menanganinya," katanya.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob pula memaklumkan kerajaan negeri akan memperhalusi PKPB bagi menyesuaikan dengan situasi setempat.

Beliau berkata amat bersyukur kepada Allah kerana pada masa ini Kelantan masih kekal pada zon hijau dan sudah tiada lagi rakyat yang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan virus Covid-19.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri tetap perlu berhati-hati supaya keadaan ini dikekalkan bagi menjamin kemaslahatan rakyat.

"Sehubungan itu kerajaan negeri berpandangan bahawa garis panduan PKPB yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan perlu diperhalusi dan disesuaikan penggunaannya di Kelantan.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih teliti di dalam mesyuarat jawatankuasa kerja keselamatan (Khas) negeri Kelantan yang akan diadakan pada hari Khamis nanti.

"Sehingga keputusan diambil di dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak," katanya dalam kenyataan media, di Kota Bharu, hari ini.

NS larang makan di restoran 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan Dr Razali Ab Malik berkata pada dasarnya beliau bersetuju dengan "saranan untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Keempat."

Bagaimanapun, katanya memandangkan kes baru Covid-19 di Negeri Sembilan masih terus berlaku dan bagi memastikan kes baru dapat dikawal, kerajaan mengenakan syarat-syarat tambahan dengan penegasan "hanya sektor ekonomi yang dibenarkan sahaja yang boleh beroperasi di dalam PKPB."

"Sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan beroperasi di dalam tempoh PKPB.

"Restoran, kedai makan dan premis makan berlesen yang dibenarkan beroperasi tidak dibenarkan secara dine-in. 

"Pihak restoran, kedai makan dan premis makan berlesen yang boleh beroperasi hanya dibenarkan melalui kaedah pembelian makanan yang dibawa pulang, menggunakan perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu (drivethru)," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Kaji tatacara dari semasa ke semasa

Menurut Razali, syarat ini juga terpakai untuk semua perniagaan kenderaan saji (food truck).

"Bagi kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 yang baru dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban, serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi yang dibenarkan di dalam PKPB adalah tidak dibenarkan tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan," katanya lagi.

Kerajaan negeri, jelas Razali akan mengkaji tatacara ini dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini berkaitan penularan Covid-19.

Ketika berita ini ditulis, pendirian Perlis dan Melaka masih tidak diketahui.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, memaklumkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS