Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL bayar balik deposit bazar tapi yuran tapak macam mana

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengembalikan deposit yang dibayar oleh peniaga bazar Ramadan di ibu negara, yang dilarang beroperasi selama tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, timbul tanda tanya mengenai yuran yang telah dibayar oleh peniaga kepada pihak persatuan peniaga dan penganjur bazar.

Menteri Kanan Ismail Sabri pada sidang media berkata beliau telah dimaklumkan bahawa DBKL akan mengembalikan deposit kepada semua peniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dipetik Harian Metro pula berkata deposit berkenaan berjumlah RM120 bagi setiap peniaga.

“Pendaftaran itu akan dibuka pada 14 hingga 17 April.

"Kami memulangkan deposit untuk bazar Ramadan sebanyak RM120 sebelum ini dan akan beri insentif RM500 bagi setiap penjaja yang bersetuju mendaftar dalam program baharu ini,” kata beliau.

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (gambar, atas) menjelaskan bahawa RM120 adalah yuran pelesenan kepada DBKL, yang mana peniaga akan membayar selain daripada bayaran tambahan kepada penganjur bazar bagi mendapatkan tapak niaga mereka.

Beliau berkata secara keseluruhan, peniaga akan membayar sekurang-kurangnya antara RM350 hingga RM500 - termasuk RM120 kepada DBKL - kepada penganjur, bergantung pada tempat bazar itu diadakan.

Fahmi berkata beberapa persatuan juga mengenakan yuran keahlian RM50 dan RM50 lagi untuk bayaran pembersihan walaupun DBKL telah membayar Alam Flora bagi menguruskan pembersihan.

Peniaga yang bercakap dengan Malaysiakini sebelum ini mendedahkan mereka telah membayar sehingga RM2,000 untuk menyewa tapak bazar mereka.

Para peniaga berkata mereka mahu wang mereka dikembalikan untuk menolong diri mereka melalui PKP.

Fahmi menganggarkan terdapat seramai 4,500 peniaga terjejas di Kuala Lumpur akibat pembatalan bazar Ramadan.

Katanya, DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan mesti memastikan kebajikan serta memberi sokongan kepada penganjur bazar dan persatuan peniaga.

"Jika boleh, DBKl atau kementerian perlu menyokong mereka (penganjur dan persatuan), kerana selama ini mereka buat kerja," katanya.

Menurut Fahmi, sekiranya keputusan mengenai bazar di Kuala Lumpur telah dibuat lebih awal, maka ia akan membolehkan penganjur menguruskan aliran tunai dan mengembalikan yuran kepada peniaga.

DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan katanya lagi mesti mempunyai rancangan untuk masa depan peniaga yang terjejas.

"Perlu ada kejelasan dari segi perancangan," katanya.

Fahmi turut mencadangkan DBKL meneroka sama ada konsep dapur terpusat seperti yang dirancang di Selangor dapat dilaksanakan di ibu negara atau tidak.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS