Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Afif kecewa dapat surat tunjuk sebab dari Lembaga Disiplin PKR

Bekas Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin, menzahirkan rasa terkilannya selepas menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin yang mendakwa beliau melakukan kesalahan ketika kongress tahun lepas.

Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh itu berkata beliau hanya menerima surat itu petang tadi, dan difahamkan beberapa lagi pimpinan AMK menerima surat yang sama.

Bagaimanapun beliau tidak dapat dipastikan siapa yang menerima surat tersebut.

"Saya tidak pasti siapa yang dapat surat, saya pun tidak boleh nak cakap.

"Pada saya yang dapat surat ini semua adalah anggota PKR. Saya sedang berhubung dengan rakan-rakan yang lain untuk mengenal pasti berapa ramai yang menerima surat ini.

"Saya perlu berbincang dengan rakan-rakan lain untuk melihat pertuduhan yang dikenakan Lembaga Disiplin PKR terhadap saya dan rakan-rakan kerana kami diberi 14 hari untuk menjawab surat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran jersi baru pasukan bola sepak Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di George Town malam ini.

Dalam Notis Tunjuk Sebab PKR bertarikh 20 Feb dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Ahmad Kasim, itu Afif didakwa melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019.

Tuju kepada parti

Kongres itu berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 6 Dis tahun lepas.

Aifif dituduh melakukan kekacauan itu dengan tujuan untuk membatalkan kongres tersebut.

Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang berkata ini adalah kali pertama perkara itu dibangkitkan.

Sebelum ini katanya tiada sebarang komunikasi yang mengatakan beliau melakukan apa-apa kesalahan sejak dari kongres itu.

Menurut Afif, beliau tidak lagi berada dalam barisan kepemimpinan parti dan kehadirannya ke kongres itu hanya sebagai pemerhati yang telah diberikan pelepasan oleh sekretariat parti.

"Jadi, saya diberi tuduhan oleh lembaga disiplin, saya pun tidak tahu apakah motifnya dan siapakah yang melakukan aduan.

"Saya tak tahu dan soalan ini harus ditujukan kepada parti dan lembaga disiplin," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS