Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan struktur tambang fleksi untuk penumpang Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) bermula 1 Mac depan selepas cadangan mengenainya diluluskan kabinet.

"Pelaksanaan struktur tambang fleksi tersebut telah diluluskan oleh Kabinet pada 18 Sept 2019 yang lalu setelah kajian terperinci dilakukan terhadap segala aspek terutamanya berkaitan profil penumpang dan pengoperasian perkhidmatan ETS.

"Tiket bagi tambang fleksi ini akan mula dijual pada 15 Jan 2020 bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS di antara 1 hingga 31 Mac 2020," kata Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam kenyataan media hari ini.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan tambang fleksi tersebut akan memberi kelebihan kepada pengguna ETS untuk merancang perbelanjaan dan perjalanan mereka dengan lebih baik.

Katanya melalui kemudahan terkini itu, penumpang boleh mendapatkan tiket yang lebih menjimatkan mengikut pilihan dan cita rasa masing-masing.

"Sebagai contoh, bagi perjalanan pada musim perayaan dan cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang lebih rendah berbanding mereka yang membelinya pada saat-saat akhir.

"Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa," tambahnya.

Menurut kementerian itu lagi, langkah berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik dan terus memilih pengangkutan awam seperti kereta api sebagai pilihan utama.


Baca Kadar tambang ETS disemak – Wan Azizah


"Sebagai pengenalan kepada tambang fleksi ini, KTMB juga menawarkan promosi Seleksi Tempat Duduk percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan ke semua destinasi di antara 1 hingga 31 Mac 2020.

"Selain itu, KTMB masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak berudia antara empat hingga 12 tahun, pelajar yang jadi pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba," katanya.

Untuk rekod, perkhidmatan ETS yang mula beroperasi di antara Kuala Lumpur dan Ipoh pada 2010 merekodkan seramai 215,000 penumpang pada tahun pertama pengenalannya.

Sehingga kini, perkhidmatan itu - yang dilanjutkan ke sektor Gemas dan Padang Besar, Perlis - berjaya merekodkan seramai 3.9 juta penumpang pada 2018, sekaligus membuktikan popularitinya yang kian meningkat.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kepada peningkatan populariti itu adalah ketepatan waktu perjalanan perkhidmatan ETS yang menepati sasaran melebihi 95 peratus, layanan khidmat pelanggan yang baik serta kemudahan moden yang tersedia di dalam tren.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS