Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menggesa pihak berkuasa mendedahkan secara rasmi tentang rampasan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan: Meraih Manfaat Bersama’.

Timbalan pengerusi persatuan itu, Mohd Zai Mustafa berkata setakat ini hanya beberapa unit saja yang dilaporkan telah dirampas sedangkan jumlah yang diedarkan menurutnya mencecah beribu unit.

“Dia kata jumpa di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Pulau Pinang 13, kemudian dirampas lagi di mana-mana tidak diisytiharkan berapa.

"Kita nak tahu berapa (telah) sebar dan berapa yang telah dapat dikumpulkan,” katanya kepada media ketika pengumuman penyerahan memorandum Selamatkan Malaysia Daripada Pengganas yang dianjurkan Ummah bersama NGO lain di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Zai turut menggesa agar polis menyiasat sekolah vernakular yang menurutnya turut menerima komik berkenaan sejak tahun lepas.

“Kita tahu dan dimaklumkan bahawa buku ini dalam (versi) bahasa Cina dan Tamil telah pun disebarkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil sejak setahun yang lepas.

“Dan kita minta pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan akta-akta yang berkaitan supaya menyiasat semua sekolah vernakular ini, pengetua dan pihak yang terlibat yang menyimpan buku ini,” katanya.

Komik yang diterbitkan oleh kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling mencetuskan kontroversi apabila pengedarannya di beberapa sekolah didedahkan kepada umum.

Hew sebelum ini berkata, versi bahasa Melayu komik itu diedarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).

Kementerian Pendidikan berkata ia tidak pernah meluluskan pengedaran komik berkenaan, lalu mengarahkan ia ditarik semula serta mengharamkan pengedaraannya di sekolah.

KDN dilaporkan telah menyerbu Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di George Town pada 24 Okt yang lalu dan merampas sebanyak 13 naskhah komik berkenaan.

Susulan itu, KDN turut mewartakan pengharaman komik itu atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan empat individu yang terlibat dalam penerbitan komik itu, termasuk Hew dan Chong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS