Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M minta Suhakam tunjuk bukti polis terlibat kes Koh, Amri

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta pihak Suhakam mengemukakan bukti berhubung dakwaan mengatakan polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman bertindak "menghilangkan" Raymond Koh serta Amri Che Mat yang sehinnga kini masih belum dapat dikesan.

"Saya tidak tahu jika mereka (Suhakam) ada bukti untuk dikemukakan dengan apa yang berlaku. Jika ada sudah tentu kami akan ambil tindakan.

"Setakat ini ia hanya sekadar khabar angin.

"Perlu ingat, ini tidak berlaku ketika kerajaan kini sebaliknya ia berlaku ketika kerajaan terdahulu," katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, petang tadi.

Suhakam sebelum ini membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa membabitkan pastor Raymond dan Amri.

Kesimpulan itu dibuat daripada inkuiri yang dijalankan terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

"Panel menganggap bahawa kehilangan paksa Amri Che Mat dilakukan oleh ejen-ejen kerajaan.

"Dengan menamakan Cawangan Khas, Bukit Aman, Kuala Lumpur dalam takrif Artikel 2 Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED)," kata pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai ketika membacakan laporan siasatan

Bekas menteri dalam negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, tiada arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu di bawah terajunya kepada cawangan khas untuk bertindak ke atas Koh serta Amri.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata kerajaan sedia mewujudkan pasukan petugas khas jika dakwaan itu benar-benar wujud.

Ditanya mengenai tuntutan Suhakam yang mahukan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun yang sebelum ini mengetuai cawangan khas disiasat, Mahathir berkata: "Kita akan serahkan ketua polis negara baru yang siasat perkara ini.”

Mohamad Fuzi akan bersara wajib pada Mei nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS