Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS selesai saman Sarawak Report 'tindakan betul' - SU agung Umno
Diterbitkan:  Feb 6, 2019 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

PAS membuat tindakan yang betul apabila menyelesaikan saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown pada masa ini, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Annuar yang juga MP Ketereh dipetik Malay Mail berkata PAS perlu mengambil tindakan itu terhadap Sarawak Report pada masa itu kerana artikel yang didakwa memfitnah itu boleh memberi kesan terhadap parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Beliau merujuk tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengambil tindakan undang-undang terhadap Rewcastle-Brown pada April 2017 di London.

Saman fitnah itu mengenai arikel yang terbit di Sarawak Report pada 2006 mendakwa pimpinan PAS menerima RM90 juta untuk menarik sokongan kepada BN dan Umno.

Selepas usaha PAS mengutip derma ratusan ribu ringgit bagi membayar sebahagian kos guaman, Hadi pada awal bulan ini bersetuju untuk menyelesaikan kes saman terhadap Rewcastle-Brown di luar mahkamah.

Ratusan ribu ringgit selesai isu kecil

"Jika tanya saya, saya tidak akan terbang dari Kuala Lumpur ke London, berulang-alik untuk menghadiri kes mahkamah. Ia bukan murah untuk menghabiskan ratusan ribu, mungkin jutaan ringgit untuk menyelesaikan isu-isu kecil ini. Mungkin buat PAS bukan isu pun.

"Saya fikir PAS membuat strategi yang betul. Mereka mahu memfokuskan pada urusannya dan mereka mahu melangkah ke hadapan. Jika tidak mereka ditarik dan terikat dengan isu lama yang tidak lagi relevan dengan hala tuju parti itu sekarang," katanya pada wawancara bersama Malay Mail.

Annuar juga berkata dakwaan yang mengaitkan Umno dengan kes pemberian RM90 juta itu tidak akan memberi kesan terhadap kerjasama dengan PAS pada pilihan raya kecil akan datang.

Menurut Annuar jika benar Umno memberi RM90 juta kepada PAS, maka siasatan kerajaan terhadap akaun bekas perdana menteri Najib Razak akan membuktikan hal ini.

"Rewcastle-Brown menulis tentang hal ini satu hal tetapi akaun Najib telah disiasat (bagi pertuduhan jenayah lain).

"Jika Najib memberi RM90 juta, saya pasti seluruh dokumen sudah ada di tangan kerajaan sekarang tapi tak ada," katanya, petik laporan itu lagi.

Najib juga telah menafikan pernah membayar RM90 juta kepada PAS atau presidennya.

SPRM dilaporkan hari ini telah memulakan sisatan terhadap dakwaan bayaran RM90 juta itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS