PRK CAMERON | Nik Omar Nik Aziz menangkis gesaan pembangkang, termasuk PAS, agar pengundi di Cameron Highlands menolak calon yang tidak beragama Islam.
Beliau yang kini menjadi yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata tidak salah untuk memilih calon berbeza agama jika calon itu menyokong kerajaan sedia ada yang membawa Islam.
"Dalam keadaan sekarang, walaupun pemimpin yang kita nak pilih bukan orang Islam, kita yakin untuk pilih dia bukan kerana agamanya tetapi dia bersama dalam satu pasukan yang kita yakin juga membawa Islam," katanya dalam program forum Memilih Pemimpin Mencari Rahmah di Felda Sungai Koyan, malam tadi.
Program itu turut menampilkan anak bekas presiden PAS, Fauwaz Fadzil dan peserta Pencetus Ummah, Muhsin Ahmad.
Ia dihadiri kira-kira 150 orang. Pada PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) mendapat kurang daripada 10 peratus undi di kawasan itu.
Tanpa menyebut mana-mana pihak secara khusus, Nik Omar kemudian mempersoalkan pihak yang membuat gesaan itu - iaitu menolak pemimpin bukan Islam - sedangkan pada masa dulu pihak yang sama pernah menggesa rakyat Malaysia memilih calon bukan Islam.
"Jadi macam mana (boleh) dalam suatu keadaan, dia sendiri (kata boleh) pilih tapi pada masa lain dia kata tak boleh pilih?"
Beliau mengimbas kata-kata bapanya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat - yang memimpin PAS ketika masih dalam Pakatan Rakyat - berhubung soal itu.
"Kita sokong bukan kerana agamanya tetapi kerana dia bersama kita untuk bawa kebaikan kepada agama, rakyat dan negara kita," kata Nik Omar.
Dalam PRK kali ini, PAS sekali lagi memainkan peranan untuk membantu kempen calon pembangkang.
Sebelum ini, pemimpin Umno dan PAS dalam satu program ceramah bersama mengingatkan agar pengundi di Cameron Highlands menolak calon PH daripada DAP M Manogaran.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kemenangan DAP akan membawa "mudarat besar" kepada Melayu dan Islam, manakala Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata sudah menjadi tanggungjawab agama buat pengundi beragama Islam untuk menolak calon PH pada PRK ini.
Pilih yang lawan rasuah
Nik Omar turut berpesan kepada pengundi agar menyokong calon yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang ingin membanteras rasuah kerana baginya ia juga satu tuntutan dalam Islam.
"Kalau rakyat Cameron Highlands beri peluang kepada pihak yang sudah 61 tahun tadbir negara, apa rakyat Malaysia dan orang Melayu dapat?" soalnya.
Ketika ia berlangsung, satu lagi program anjuran BN yang menampilkan gandingan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan turut diadakan tidak jauh dari situ.
Malah laungan suara penceramah di pentas BN boleh didengar jelas dari tapak program itu.