Paling Popular
Terkini

ANALISIS | Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan sasaran untuk mendapatkan undi majoriti yang tinggi dalam pilihan raya kecil Port Dickson dalam usahanya untuk menawan kerusi itu.

Walaupun tidak memberikan angka yang tepat, dilaporkan bahawa beliau mahu mendapatkan undi majoriti sekurang-kurangnya menyamai 17,710 undi yang diterima bekas anggota parlimen, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

"Bila umum berita, Pilihan Rakyat Kecil Port Dickson dimenangi Anwar dengan 220 undi, tak sedaplah," katanya dalam satu ceramah.

Untuk memperoleh mandat seperti bekas anggota parlimen berkenaan, Anwar perlu memastikan kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus.

Dalam pilihan raya kecil pada Jun 2000, kadar keluar mengundi di Port Dickson (dikenali sebagai Teluk Kemang pada masa itu), hanya mencatatkan 66.14 peratus.

Dalam analisis ini, Malaysiakini akan meneroka cabaran yang dihadapi pasukan Anwar untuk meyakinkan para pengundi agar keluar menunaikan kewajipan mereka.

Menurut petugas parti, peratusan pengundi luar di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Port Dickson berkisar antara 20 peratus dan 50 peratus iaitu Chuah (50 peratus), Linggi (40 peratus), Bagan Pinang (20 peratus), Lukut (28 peratus) dan Sri Tanjung (25 peratus).

Peratusan pengundi luar dikaitkan dengan ekonomi tempatan.

Pantai Port Dickson menjadi destinasi percutian popular bagi pelancong tempatan pada tahun 1990-an dan menarik ramai rakyat Singapura melabur di kawasan peranginan itu.

Pembinaan hotel dan pusat peranginan ditangguhkan selepas krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan beberapa projek terbengkalai sehingga hari ini.

Walaupun industri pelancongan bergelut untuk kembali ke zaman seperti dahulu, industri pelancongan masih berjalan seperti biasa di beberapa kawasan yang terletak dalam kerusi DUN Bagan Pinang dan Sri Tanjung.

Selain itu, terdapat juga ladang kelapa sawit, tiga kilang penapis minyak dan loji kuasa di kawasan berkenaan.

Sasaran 70 peratus keluar mengundi

Chuah, memegang rekod dengan peratusan tertinggi pengundi luar.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yek Diew Ching, kesan kemerosotan ekonomi di Chuah masih dirasai sehingga kini.

Chuah menempatkan industri perternakan babi terbesar pada yang menghadapi masalah akibat virus Nipah pada tahun 1999.

"Mereka berpindah ke Kuala Lumpur, Singapura dan Johor Bahru. Generasi muda mendapat pekerjaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berjarak 20 minit," katanya.

Yek berkata tiga pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum pada 9 Mei telah mencatatkan jumlah pengundi di bawah 50 peratus dan ini merupakan satu cabaran kepada pasukan Anwar.

"Masalah utama Anwar terletak pada pengundi, bukan pencabarnya," katanya kepada Malaysiakini.

Selain membuat rayuan melalui media sosial, Yek berkata HARAPAN juga menggunakan pendekatan "Ketua 50" di mana semua anggota parti yang ditugaskan akan bertanggungjawab terhadap 50 orang pengundi, yang antara lain bagi menggesa mereka pulang mengundi.

Beliau mengakui pendekatan ini serupa dengan "Ketua 10" Umno, di mana seorang ahli ditugaskan untuk menjaga 10 orang di kawasan kejiranan mereka, dengan salah satu matlamatnya untuk memastikan mereka mengundi BN pada pilihan raya umum.

"Kami perlu berusaha keras, kami berharap dapat mencapai peratusan jumlah pengundi dari 60 peratus hingga 70 peratus."

Selain itu, Yek berkata terdapat pengundi yang telah merancang percutian mereka pada hari mengundi nanti.

"Saya diberitahu 10 bas akan berlepas pada hari mengundi untuk mengambil bahagian dalam Festival Sembilan Maharaja Dewa di Thailand. Saya tidak fikir mereka akan mengundi," katanya.

Sementara itu, ADUN Sri Tanjung M Ravi berkata HARAPAN  memiliki cara tersendiri untuk "menarik" pengundi.

"Pasukan kami melawat rumah ke rumah dan mendapat butiran pengundi luar. Kami menghubungi atau menghantar kiriman WhatsApp kepada mereka.

"Kami merayu penyertaan mereka kerana ini bukan pilihan raya biasa, jangan anggap Anwar pasti akan menang, bukan hanya untuk undi Anwar, kita mengundi untuk perdana menteri masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata antara cabaran dihadapi adalah tempoh berkempen selama 13 hari tidak berlangsung sewaktu musim cuti.

Katanya, petugas HARAPAN di Bagan Pinang juga melakukan lawatan rumah ke rumah untuk mengenal pasti pengundi luar dan menghubungi mereka satu persatu.

"Kami memiliki 20 peratus pengundi luar dan kami berhubung dengan mereka," kata Md Nordin Ismail, yang bertanggungjawab terhadap kempen di kerusi DUN Bagan Pinang.

"Seramai 80 peratus pengundi luar yang dihubungi kata mereka akan pulang untuk mengundi tetapi selebihnya tidak," katanya.

Majoriti besar tidak realistik

Sementara itu, ADUN Lukut, Choo Ken Hwa berkata pihaknya berusaha menjelaskan kepada pengundi mengenai kepentingan mengadakan pilihan raya kecil ini.

"Kami menjelaskan betapa pentingnya pilihan raya kecil ini. Pengundi mengundi untuk masa depan Port Dickson, seperti kita mengundi untuk kerajaan baru. Dunia juga memerhatikan pilihan raya kecil ini," kata Choo.

Menurut Choo (gambar), DAP menyasarkan 60 peratus pengundi dari kawasan Lukut akan keluar mengundi.

Walaupun jentera Anwar tetap yakin, sumber lain berkata adalah tidak realistik bagi Anwar untuk memperoleh majoriti undi yang besar seperti Danyal.

Sumber itu berkata, bakal presiden PKR itu 'bertuah' jika menang dengan majoriti 10,000 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Dalam tinjauan oleh Malaysiakini, hanya pengundi yang anak-anak mereka kini bekerja di Kuala Lumpur berjanji untuk pulang, manakala mereka yang bekerja dan belajar di kawasan lebih jauh tidak akan berbuat demikian.

Chow Ket Mee, penyokong HARAPAN berusia 67 tahun di Kampung Jimah, berkata tiga anaknya yang bekerja di Lembah Klang berjanji untuk pulang mengundi.

"Mereka akan kembali pada malam Jumaat dan mengundi pada hari Sabtu. Mereka pulang setiap minggu kerana ia tidak jauh," katanya.

Shee Boon Than, pemilik kedai runcit berusia 47 tahun di Lukut, pula berkata kedua-dua anaknya yang sedang belajar di Jepun dan Taiwan, tidak dapat pulang ke rumah.

"Mereka mengikutiti pilihan raya kecil itu, tetapi mereka tidak akan pulang ke rumah. Tiket penerbangan mahal, saya rasa kita semua mesti keluar mengundi. Kita mahukan ahli parlimen yang cemerlang," katanya.

Namun, Shee tetap skeptikal mengenai rancangan Anwar untuk membangunkan Port Dickson disebabkan hutang kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS