Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: PKR kosongkan kerusi untuk Anwar minggu depan

Satu kerusi parlimen yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum lalu akan dikosongkan pada minggu depan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

Perkara itu diumumkan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sambil menegaskan bekas timbalan perdana menteri itu akan kembali ke parlimen dalam masa terdekat.

"Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.

"Minggu depan Insya-Allah satu kerusi dikosongkan dan insya-Allah Anwar Ibrahim akan kembali ke parlimen," katanya ketika berceramah di program #Reformasi20Tahun di Kota Bharu, malam tadi.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau tidak kisah dengan segelintir anggota parlimen partinya yang tidak mahu memberi laluan untuk Anwar kembali ke parlimen kerana masih ramai yang sudi.

Bekas anggota parlimen Pandan itu berkata, jika pemimpin seperti penyandang Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali enggan memberi laluan ia tidak menjadi masalah.

"Zuraida tak nak bagi (kerusi) tak apa, Azmin tak nak bagi tak apa. Ramai lagi orang lain yang sanggup beri laluan," katanya.

Tambah Rafizi, pihak mempunyai dua kepentingan yang perlu diutamakan dalam agenda PKR iaitu menjadikan Anwar sebagai presiden parti dan anggota parlimen serta perdana menteri kelapan.

"Kami duduk berbincang dengan Anwar, datuk seri jangan ambil mudah. Ingat orang luar dan dalam akan bagi ruang. Tidak cukup jadi ketua umum.

"Kita susun yang pertama pertandingan dan pemilihan kali ini Anwar jadi presiden parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS