Paling Popular
Terkini

Jawapan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Dewan Rakyat berhubung Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) amat mengecewakan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Anggota parlimen Rembau berkata, ia menunjukkan kemungkinan besar manifesto Pakatan Harapan tidak dapat dilaksanakan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Ini (jawapan menteri) amat penting kerana ramai undi Pakatan Harapan berdasarkan janji PTPTN ini.

"Dan apabila tiada unjuran dengan tanggungan kewangan. Tiada unjuran dengan tempoh masa yang diperlukan seorang siswazah sampai tahap (akan mula bayaran apabila gaji) RM4,000 sebulan.

“Ini menunjukkan bahawa HARAPAN buat janji yang tak difikirkan habis-habisan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu dalam sesi soal jawab, Khairy bertanya adakah kerajaan sudah mengkaji unjuran masa untuk seseorang siswazah mencapai gaji RM4,000, yang mewajibkan mereka membayar pinjaman.

Bekas menteri belia dan sukan juga bertanya, sepanjang penangguhan bayaran PTPTN, berapakah jumlah yang harus ditanggung kerajaan bagi membiayai peminjam baru, selain kesan kewangan kepada PTPTN dengan penangguhan bayaran.

Maszlee melalui jawapannya berkata “kajian berterusan akan dijalankan”.

Pada PRU lalu, HARAPAN melalui manifestonya menawarkan penangguhan bayaran balik sehingga mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 sebulan.

Janji itu adalah antara 10 perkara yang akan dilakukan HARAPAN dalam tempoh 100 hari jika berjaya memenangi PRU14.

Mengulas lanjut, Khairy berkata walaupun tempoh janji HARAPAN masih berbaki sebulan, namun jawapan Maszlee masih di peringkat kajian justeru beliau melihat ia kemungkinan tidak dapat dilaksanakan.

“Walaupun masih ada lagi sebulan, saya lihat jawapan menteri bahawa perkara ini masih sedang dikaji.

“Dan juga kenyataan daripada pengerusi PTPTN semalam bahawa kajian masih lagi dilaksanakan bahawa kemungkinan besar janji ini tidak dapat dilaksanakan.

“Sebab hari ini menteri pun mungkin tak dapat penjelasan berkenaan yang pertama tanggungan kewangan terhadap kerajaan persekutuan sekiranya janji ini dilaksanakan,” katanya.

Khairy turut berkata sekiranya janji tersebut tidak dapat dilaksanakan, PTPTN terpaksa membuat pinjaman bagi menyediakan dana pemohon baru, sekali gus menambah bebanan kewangan negara.

“Dan ini akan menambah bebanan liabiliti yang dikatakan terlalu besar yang bercanggah dengan polisi kementerian kewangan pada waktu ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS