Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'BN ada rancangan besar bantu HARAPAN tunai manifesto'

BN mempunyai rancangan besar dalam membantu kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memenuhi janji-janji manifestonya, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Kata Bung Moktar, dia tahu beberapa janji dalam manifesto itu mustahil untuk dilakukan termasuklah menurunkan harga barang, menetapkan harga petrol kepada RM1.50 seliter, menetapkan gaji minimum RM1,500 dan menghapuskan tol.

Bagaimanapun, tambah Bung Moktar, memandangkan HARAPAN menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 melalui janji seumpama itu, BN akan memastikan mereka memenuhi janji berkenaan.

"Kita ada rancangan besar untuk membantu mereka menunaikan janji, kita akan pantau secara teliti. Sebagai anggota parlimen, saya akan pastikan perkara ini," katanya tanpa mengulas lanjut 'rancangan besar' yang dimaksudkannya.

Selain itu, katanya, Umno akan menyuarakan kebimbangan rakyat termasuklah kontraktor projek yang terjejas dengan keputusan kerajaan baru.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengaku HARAPAN mungkin tidak dapat memenuhi 10 janji dalam tempoh 100 hari yang dinyatakan dalam manifesto mereka.

Dr Mahathir kemudian menyifatkan manifesto itu "bukan kitab suci" dan sebaliknya hanya "panduan" bagi HARAPAN.

Bulan lalu, Bung Moktar menggesa rakan-rakannya dalam Umno bangkit dan " membuat sesuatu tuduhan tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang."

"Saya belum lagi bertindak agresif sebab saya akan tunggu sehingga pertengahan Ogos (untuk bertindak)," katanya kepada Malaysiakini minggu lalu sebagai merujuk tempoh 100 hari untuk HARAPAN menunaikan janji.

Jangan gadai maruah

Selain itu, Bung Moktar turut mengecam tiga anggota parlimen yang keluar Umno sebelum ini.

"Ketika kita dalam kerajaan, mereka sertai kami. Tapi kini tinggalkan kami, ini menunjukkan mereka hanya mahu kedudukan yang selesa. Jadi di mana maruah mereka?

"Mereka tak ada maruah. Politik bukan peluang untuk meraih apa-apa. Dalam hidup kita boleh gadai apa-apa sahaja tapi bukan maruah," katanya.

Anggota parlimen yang keluar Umno adalah anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Selepas mengambil alih Putrajaya, kerajaan bar di bawah pentadbiran HARAPAN menyiasat skandal 1MDB dan skandal-skandal yang yang melibatkan pemimpin Umno yang sebelum ini berada di dalam kabinet.

Mengulas perkara itu, Bung Moktar mengakui ada beberapa "telur busuk" di kalangan pemimpin Umno.

"Umno parti besar dan kita tidak boleh kawal semua orang. Mungkin 100 atau 200 (pemimpin) daripada empat juta anggota hanya memikirkan kepentingan sendiri.

"Mereka ambil semuanya ketika menjadi pemimpin.

"Tapi tiada sesiapa yang boleh hentikan. Sudah tentu akan ada beberapa salah laku, jadi kerajaan sedang siasat.

"Kita juga bimbang, tapi apa boleh buat? Tidak kira berapa banyak pemimpin yang didapati melakukan penyelewengan, Umno perlu bergerak ke depan dengan pemimpin lain (yang bersih).

"Jika sesuatu terjadi kepada pemimpin hari ini, katakan 10, 20 atau 30 didapati bersalah, pemimpin baru perlu dilahirkan," katanya yang menjelaskan ia akan menjadi proses yang panjang dan sukar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS