Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar menunaikan setiap perkara yang disebut dalam manifesto PRU ke-14 mereka.
Bekas perdana menteri itu membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa "manifesto bukan kitab suci" berhubung pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.
Ia bertentangan dengan janji manifesto HARAPAN bahawa speaker akan dipilih di kalangan anggota parlimen.
"Janji tetap janji. Tidak betul dan tidak adil untuk parti politik mendapat kuasa dengan menipu rakyat.
"Rakyat sepatutnya tidak tertipu dan menerima begitu saja sebarang alasan yang akan dibuat kerajaan HARAPAN untuk lima tahun akan datang," kata Najib di Facebook hari ini.
Berhubung pelantikan Mohamad Ariff, Mahathir berkata mereka tidak dapat melantik speaker di kalangan anggota parlimen "atas sebab-sebab tertentu".
"Kadang-kadang kita boleh laksanakan sesuatu perkara, kadang-kadang tidak boleh, jadi kita perlu berfikiran praktikal," katanya sambil menambah orang awam mahu speaker yang tak dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Dalam pada itu, Najib berkata BN sebelum ini sentiasa berhati-hati ketika merangka manifesto mereka kerana beliau mahu menunaikan setiap perkara yang dijanjikan.
"Kami melakukan pengiraan dan menyemak banyak kali...Mungkin kami terlalu berhati-hati untuk menjanjikan perkara yang dapat kami tunaikan," kata anggota parlimen Pekan itu lagi.