ADS
mk-logo
Berita
Sabah akan buat 'pemutihan' pekerja asing perladangan
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 8:32 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Kerajaan Sabah akan melaksanakan ‘pemutihan’ untuk sektor perladangan dan mengeluarkan dokumen khas bagi pekerja asing yang bekerja dalam sektor itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.

"Saya telah menerima banyak rungutan daripada sektor perladangan mengenai masalah kekurangan buruh disebabkan beberapa perkara termasuk daripada polisi yang di peringkat pusat.

"Masalah kekurangan buruh ini akan menjejaskan produktiviti dalam sektor perladangan. Oleh itu kita telah mengadakan perbincangan mengenai masalah itu dan kita akan mengeluarkan satu dokumen khas kepada pekerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor perladangan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri, di Kota Kinabalu hari ini.

Mohd Shafie berkata satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan memperincikan tentang proses pemutihan sebelum dokumen khas berkenaan dikeluarkan kepada pekerja asing yang layak.

ADS

Dokumen khas, beberapa syarat

"Dokumen khas itu bukan satu dokumen yang kekal dan kita akan letakkan beberapa syarat untuk membolehkan mereka bekerja dalam sektor perladangan," katanya.

Seramai 76,603 pekerja asing direkodkan bekerja dalam sektor perladangan di Sabah sehingga penghujung 2017.

ADS

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Mohd Shafie berkata ia adalah mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri pertama sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.

"Dalam mesyuarat ini saya telah mendengar taklimat daripada semua agensi keselamatan berhubung tahap keselamatan di Sabah dan berdasarkan maklumat itu saya mendapati tahap keselamatan di negeri ini adalah terkawal.

"Kita melihat dari segi indeks prestasi dan kadar kes, khususnya di sempadan negara adalah terkawal. Walaupun keadaan keselamatan kita baik saya meminta semua agensi yang terlibat dalam mengawal keselamatan di Sabah terus mempertingkat kawalan selain terus meningkatkan kerjasama antara semua agensi keselamatan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS