Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Najib, henti berbohong bahawa skandal 1MDB adalah fitnah’
Diterbitkan:  May 21, 2018 12:54 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa kenyataan bekas perdana menteri itu kononnya kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 berpunca daripada fitnah parti pembangkang jauh meleset daripada fakta sebenar.

“Najib seharusnya bersikap lebih jujur dalam mempertahankan dirinya daripada siasatan yang sedang dijalankan sekarang dan bukannya berbohong kepada rakyat kononnya beliau difitnah.

“Sikap lidah bercabang Najib ini ternyata memperlihatkan kerisauan beliau berhadapan siasatan yang dijalankan,” kata Faiz yang juga adalah ketua pemuda AMANAH, dalam satu kenyataan media.

Susulan serbuan berterusan ke atas hartanah dan pejabat yang dikaitkan dengan Najib minggu lalu, bekas pengerusi BN dan presiden Umno itu ketika berucap kepada para penyokongnya di Pekan, semalam mendakwa kekalahan BN berpunca daripada 'fitnah' Pakatan Harapan.

Najib turut mempersoalkan sama ada siasatan 1MDB terhadap beliau dijalankan secara telus.

Mengulas dakwaan itu, Faiz berkata skandal 1MDB adalah berdasarkan fakta yang gagal disangkal oleh Najib dan pentadbirannya.

“Isu-isu skandal korupsi berskala mega yang menyelebungi pentadbiran Najib sebelum ini terutama skandal 1MDB adalah berdasarkan fakta benar yang gagal disangkal secara positif oleh dirinya.

“Ini yang akhirnya telah membangkitkan semangat rakyat terbanyak menolak BN,” katanya.

Beliau menjelaskan hutang 1MDB sehingga mencecah RM50 bilion, seperti yang disebut oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016, ditanggung oleh pembayar cukai dan bukannya 1MDB, yang membuktikan bahawa wang negara telah disalahgunakan.

“Ini adalah kerana sebahagian besar hutang tersebut tidak dibelanjakan untuk projek-projek 1MDB tetapi hilang tanpa penjelasan konkrit.

“Sebagai contoh, laporan PAC tersebut mengesahkan bayaran AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dibayar kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd, Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sudah pasti mengetahui fakta ini tetapi gagal menyangkalnya,” katanya.

Faiz juga berkata, bekas perdana menteri itu gagal mencabar saman pelupusan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

“Najib juga hingga kini masih gagal menyaman Wall Street Journal (WSJ) jika benar skandal 1MDB suatu fitnah terhadap beliau walaupun telah berjanji melakukannya pada hari Selasa.

“Menjelang esok, sudah berlalu 151 kali Selasa, namun saman tidak juga kunjung tiba,” katanya.

Saman pelucutan DOJ itu berulang kali menyebut “Malaysian Official 1" sebagai tokoh penting dalam jejak wang 1MDB, dan bekas menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui pegawai itu adalah Najib.

[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS