Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan Aminuddin Harun mempersoalkan kelewatan pembinaan Hospital Rembau di negeri itu yang sepatutnya siap pada penghujung tahun ini tetapi ditunda sekali lagi.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam sebelum ini yang memaklumkan berlaku beberapa masalah dalam pembinaan hospital yang menelan belanja kira-kira RM104 juta itu.
"Keadaan ini sudah tentu menimbulkan pelbagai tanggapan dan rakyat mahu tahu apa masalah sebenar yang menjadi kelewatan terhadap pembinaan hospital Rembau ini?
"Walau apa alasan sekalipun yang diberikan, ia tidak sepatutnya berlaku kerana kemudahan hospital merupakan keperluan mendesak yang perlu disegerakan," kata pengerusi PKR Negeri Sembilan itu dalam satu kenyataan media.
Menurutnya berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha, kos pembinaan hospital itu pada mulanya dianggarkan bernilai RM96,969,582.25, namun kini mencecah sehingga RM93,940,744.35.
"Ia sepatutnya siap pada 8 September 2016 tetapi kini dijangka siap pada 29 Disember 2017, bermakna kini telah lewat 477 hari sepertimana yang dijadualkan.
"Malang sekali, kini ia ditunda lagi dan dijangka siap sebelum Jun 2018," katanya.
ADUN Sikamat itu berkata pembinaan hospital berkenaan sangat dinanti-nantikan oleh penduduk yang ketika ini terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau.
"Lebih-lebih ketika ini keadaan di Klinik Kesihatan Rembau tersebut agak sesak sehingga pesakit terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.
"Bertambah parah, pada ketika ini jika berlaku sebarang kecemasan, penduduk di situ terpaksa dikejarkan ke Hospital Tampin di mana bilangan doktor tidak ramai dan terhad selain amat sukar bagi mereka yang kurang berkemampuan," katanya.
Pada 11 Disember lalu, S Subramaniam berkata pembinaan Hospital Rembau dijangka siap sebelum Jun tahun depan dan kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 82 peratus.
Katanya, projek yang menelan belanja RM104 juta itu sepatutnya disiapkan pada September tahun lalu namun mengalami kelewatan akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan antaranya isu berkaitan reka bentuk pembinaan.
“Bagaimanapun, kerajaan yakin projek ini boleh disiapkan sebelum Jun tahun depan dan dijangka dapat digunakan tiga bulan selepas itu,” beliau dilapor berkata.