Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semasa saya masih berada dalam zaman nakal dan main-main, antara gurauan kami ialah Spanish Fly. Biasanya kami akan ketawa berdekah-dekah apabila 'benda itu' dibangkitkan.

Pada hari ini Spanish Fly cuma penyedap cerita dan penglipur lara hati yang duka. Sementelah kita sudah semakin jelak dengan apa yang ada di hadapan.

Ketika kita kian bergelut dengan konflik jiwa, harga diri juga semain murah. Kes baru Covid-19 pula terus mencanak-canak naiknya sehingga ke angka amat menggerunkan.

Pada masa sama kita juga takjub dengan sikap aneh segelintir manusia yang suka mengundang maki hamun untuk diri sendiri. Sama ada sengaja atau tidak, wallahu a'lam.

Cuma kita yakin ia sebenarnya sejenis penyakit juga. Dan penting juga diubati sebelum ia menjadi semakin tenat dan memualkan. Kadang-kadang cara mereka mengajak orang memaki hamun dirinya itu juga unik, iaitu dia sengaja memilik ungkapan yang keji.

Walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, mereka sebenarnya sangat meminta untuk dimaki semula.

Kemudian ada pula sindir-menyindir. Jika ia dirasa menyakitkan hati dan tidak boleh diterima, maka melatalhah mereka lalu khidmat peguam pun digunakan. Sementelah mereka memang berwang.

Kita pun hairan kerana sepatutnya susuk tokoh yang kelihatan wajar dihormati dan meredakan kegelisahan ummah, tetapi sebaliknya dia selalu meminta agar dimaki.

Sekarang ini kalau ditelek-telek dari jauh, sebenarnya sudah ada riak-riak gelombang rakyat mahu mencari jalan sendiri untuk mengurus kemelut yang sedang melanda.

Rakyat yang rencam itu boleh berpakat lalu membentuk jemaah tersendiri apabila mereka disatukan oleh masalah yang sama. Dan itulah yang sedang berlaku secara berselerak di seluruh negara apabila mereka bergandingan bahu menghulurkan bantuan kepada rakyat.

Sesungguhnya negara ini sedang dahagakan kepimpinan yang lebih segar dan meyakinkan, selain bebas daripada kebodohan bergayut pada kuasa yang menjadi nyawa mereka.

Padahal kuasa itulah yang dijadikan lesen untuk menyendatkan tembolok masing-masing. Pada masa sama kebajikan rakyat diketepikan.

Rakyat sudah tidak lagi mampu menahan perasaan hidup dalam suasana yang berulamkan maki hamun dan carut-marut seperti sekarang. Masalah Covid-19 sudah cukup melemaskan, dan tidak ada perlunya masalah lain ditambah oleh ahli politik.


UBI MARCHINO ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS