ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim harap tanah kebun musang king diberi kepada belia

PRK AYER KUNING | Tanah yang telah dibersihkan oleh pihak berkuasa Pahang dalam operasi terhadap pekebun durian tanpa lesen sepatutnya diberikan kepada golongan belia di kawasan tersebut, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga ketua pembangkang DUN Pahang berkata inisiatif sedemikian akan memastikan pembangunan tanah tersebut dapat diteruskan dan mengelakkannya daripada terbiar.

“Saya ucap tahniah kepada penguat kuasa yang ambil tindakan tetapi apa yang penting adalah apa langkah seterusnya. Selepas tebang, nak buat apa (di tanah tersebut)?

“Kita cadang supaya kerajaan negeri bangunkan kawasan itu sebagai Rancangan Tanah Pemuda (RTP)...yang diberi kepada keluarga-keluarga baru (dibina), orang muda yang baru ada keluarga diberi tanah untuk dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas berucap di ceramah PN di Ayer Kuning, semalam.

ADS

Adun Cheka itu berkata lagi, semua tindakan kerajaan negeri perlu diiringi dengan misi yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

Pada 10 April lalu, berlaku pertembungan antara pekebun durian di Raub dengan anggota UPNP ketika pihak penguat kuasa sedang menebang pokok musang king di tanah yang menjadi pertikaian yang terletak berhampiran Sungai Klau.

Susulan itu, Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) Chow Yu Hui, yang juga ahli Parlimen Raub, dan Pengerusi Samka Wilson Chang ditahan semalam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.

https://www.malaysiakini.com/news/740147

Mengulas penangkapan itu, Tuan Ibrahim berkata polis hanya menjalankan tugas berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Bahkan sesiapa saja yang halang penjawat awam yang sedang ambil tindakan adalah satu kesalahan.

“Saya yakin polis akan bertindak dengan adil,” katanya lagi.

Sebelum ini, sekumpulan pekebun durian mendakwa kerajaan Pahang telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang menafikan pihaknya melanggar perintah mahkamah. Penasihat Undang-undang Pahang Saiful Edris Zainuddin berkata pokok-pokok tersebut berada di atas tanah yang diceroboh secara haram, dan justeru tidak dilindungi oleh perintah mahkamah.

Kerajaan Pahang sedang melaksanakan skim pengesahan pendudukan tanah untuk pekebun durian yang didakwa menceroboh tanah secara haram di negeri itu, dengan menawarkan pemajakan tanah tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Pada April tahun lalu, seramai 204 pekebun durian di Raub memohon semakan kehakiman terhadap skim pengesahan tersebut, namun Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan kebenaran mereka, menyebabkan mereka mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan.

Pada September tahun lalu, Samka menuduh pihak berkuasa membakar dan memusnahkan struktur yang digunakan untuk menempatkan pekerja ladang dan peralatan mereka.

Namun, setiausaha kerajaan negeri ketika itu, Zulkifli Yaacob menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS