Selepas proses pengundian bagi pemilihan peringkat cabang PKR di tujuh negeri berakhir, beberapa persoalan dibangkitkan mengenai jumlah undi yang diperolehi antara pasukan bertanding, sama ada diketuai oleh penyandang ketua cabang, pencabar, atau muka baru.
Dalam setiap cabang PKR, calon-calon biasanya bertanding dalam kumpulan atau pasukan di mana sesebuah pasukan memiliki calon untuk jawatan ketua cabang, timbalan ketua, naib ketua dan hingga 15 orang ahli jawatankuasa.
Malaysiakini dimaklumkan keputusan yang menyaksikan calon ketua cabang tewas di sebalik kemenangan pasukan - atau sebaliknya - menjadi asas kepada beberapa aduan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR yang dipengerusikan oleh Dr Zaliha Mustafa.
Di Selangor, bekas Ketua Cabang Shah Alam, Rodziah Ismail, yang tewas kepada pencabarnya, Adun Kota Anggerik Najwan Halimi, membangkitkan rasa curiga terhadap keputusan yang disifatkannya sebagai "pelik".
"Kenapa saya kata pelik? Sebab bila keputusan keluar, hanya saya yang kalah, malah mendapat undi terendah dari kalangan calon-calon daripada pasukan saya," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Berdasarkan keputusan rasmi, Rodziah memperoleh 899 undi.
Regunya bagi jawatan naib ketua, Shahrulnidzam Zainal, menang mengatasi dua calon lain dengan memperoleh 1,061 undi daripada 2,637 kertas undi yang dikeluarkan.
PKR Cabang Shah Alam mempunyai sejumlah 3,307 ahli yang layak mengundi.
Rodziah juga mendakwa sistem pengundian dalam talian memiliki masalah dan mungkin menjadi punca kekalahannya.
"Dengan keputusan yang pelik ini, dan dengan penemuan yang diperolehi, saya buat bantahan kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Saya bangkit bersuara dan selaki Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Saya juga menggesa agar perkara ini segera diberi penjelasan dan mencadangkan supaya pemilihan berbaki untuk beberapa negeri pada hujung minggu ini ditangguhkan sehingga isu-isu kepelikan ini dapat dikesan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
Sebelum ini, Najwan memberitahu Malaysiakini, ramai ahli pasukannya kecundang, kecuali Adun Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang menang jawatan Ketua AMK PKR Shah Alam mengatasi dua calon lain.
Dalam kes berasingan, Adun Rawang, Chua Wei Kiat, mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pemilihan PKR selepas tewas kepada Kamarudin Mohd Hussain.

Dia berdepan saingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Cabang Selayang yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Chua memperoleh 1,648 undi, manakala Kamarudin mendapat 2,041 undi.
Seorang lagi pencabar, Wan Ibnul Bahar Wan Ismail memperoleh 28 undi daripada keseluruhan 3,718 undi.
PKR Selayang mempunyai 4,705 ahli yang layak mengundi.
Sama seperti Rodziah, Chua juga menyebut kekalahannya — walaupun majoriti ahli pasukannya menang — sebagai asas kepada rayuannya.
"Kepada seluruh pasukan saya — terima kasih atas kesetiaan dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
"Kami telah membuat persiapan untuk pemilihan ini selama lebih dua tahun, dan keputusan ini membuktikan bahawa usaha kolektif kita tidak sia-sia.
"Kemenangan besar di peringkat cawangan, Wanita dan AMK adalah hasil kerja keras, perpaduan, dan kepercayaan akar umbi terhadap kami," katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang tewas kepada penyandang Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian turut mengemukakan rayuan atas alasan yang sama.

Menurutnya antara anggota pasukannya yang menang ialah Ketua Wanita, Maisarah Ismail, dan Ketua AMK, Nabil Halimi.
Di Kedah, pencabar jawatan Ketua Cabang PKR Kulim Bandar Baharu, Adam Teh Lean Ong, berkata dia juga telah memfailkan rayuan selepas tewas kepada Yeo Keng Chuan.
"Seluruh pasukan saya — dari timbalan ketua cabang hingga ahli jawatankuasa — menang dengan sekitar 786 undi.
"Sayap wanita juga menang dengan purata sekitar 285 undi, dan sayap pemuda menang dengan purata 141 undi. Tetapi saya seorang sahaja yang kalah dengan perbezaan 282 undi," katanya di Facebook.
"Satu perbezaan mencurigakan sebanyak 1,000 undi — dua kali ganda berbanding penyokong kedua tertinggi.
"Perkara ini bukan berlaku di satu cabang sahaja di Kedah, tapi di banyak cabang di Kedah, Selangor dan Melaka," dakwanya.
PKR Cabang Kulim Bandar Baharu mempunyai sejumlah 2,078 pengundi yang layak, namun hanya 1,736 undi dikira.
Jawatankuasa Pemilihan PKR kini menerima rayuan berhubung keputusan pemilihan yang berlangsung pada 11, 12 dan 13 Mei, sehingga jam 5 petang pada 16 Mei.
Pengundian bagi Majlis Pimpinan Pusat, sayap wanita kebangsaan dan sayap AMK kebangsaan akan diadakan pada 24 Mei.