Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggantung ketua pembangkang Razman Zakaria selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Ong Boon Piow (Pakatan Harapan - Bercham) membentangkan usul terhadap Adun Gunung Semanggol di dewan itu, yang disokong oleh Shahrul Zaman Yahya (BN- Rungkup).
Sinar Harian melaporkan, penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul berkenaan.
Tindakan itu diambil terhadap pemimpin PAS itu selepas dia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN pada 4 Dis tahun lepas atas dakwaan fitnah dan kenyataan berbaur perkauman.
Ini berlaku selepas pada 2 Dis, Razman memberitahu dewan bahawa rakyat Malaysia telah menaikkan bendera China semasa acara yang diadakan di Teluk Intan pada 24 Okt.
Sementara sebelum itu dia mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah merasmikan acara berkenaan. Razman kemudiannya memohon maaf selepas diancam tindakan undang-undang.
Ini bukan kali pertama Razman menarik balik dakwaan terhadap pemimpin Pakatan Harapan.
Dalam ucapan pada Januari, Razman mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh adalah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.
Dia kemudiannya memohon maaf dan mengaku tersilap selepas Ahli Parlimen Segambut itu menafikan dakwaannya.
Pada 2023, dia memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di mahkamah sebagai sebahagian daripada penyelesaian berhubung dakwaannya bahawa Anwar berkata dalam ucapan kempen bahawa dia akan mempromosikan agenda LGBT.
Dia juga diperintahkan membayar ganti rugi kepada penasihat DAP Guan Eng pada 2023 dan bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2017 selepas didapati bertanggungjawab atas fitnah.
Sementara itu, Exco kerajaan negeri Perak Woo Kah Leong berkata hukuman yang dikenakan terhadap Razman boleh dianggap ringan, dengan mengambil kira rekodnya yang memfitnah.
Woo mengingatkan orang ramai bahawa perdana menteri pun tidak terlepas daripada fitnah pemimpin PAS itu, sambil menambah Razman kini kehilangan kredibiliti sebagai pemimpin politik.
Adun Pasir Bedamar itu kemudiannya menggesa pembangkang merenung perkara itu dan berhenti memfitnah orang lain.
"Seyogianya pembangkang negeri Perak bermuhasabah dan menghentikan daripada menularkan budaya fitnah bermula hari ini.
"Belajarlah daripada pembangkang dulu, harusnya PN berperanan sebagai entiti semak dan imbang, patutnya bertanyakan soalan yang bernas tentang pembangunan negeri Perak, permasalahan rakyat, dasar negeri, dan pastikan menyuburkan demokrasi dengan cara matang," tambah Woo.