Kehadiran pakar ilusi terkenal dunia, The Sacred Riana, ke Malaysia buat julung kali pada 15 Julai depan dijanjikan tidak saja hanya untuk mengejutkan penonton dengan persembahan yang seram dan penuh misteri.
Ketua Pegawai Eksekutif Mediaberg Productions, Manoharan Silva Rajan, berkata persembahan The Sacred Riana Conjuring Live itu nanti turut disusuli aksi mencabar hingga memerlukan peningkatan kawalan keselamatan yang tinggi.
“Riana merancang untuk mengadakan aksi lagak ngeri di depan penonton dan persembahan itu memerlukan penggunaan peralatan (prop) besar. Mediaberg Productions tidak berkompromi sama sekali dari aspek keselamatan.
“Justeru, kami sebagai penganjur sibuk bermesyuarat dengan penyedia lokasi untuk memastikan keselamatan tidak terganggu sepanjang persembahan berlangsung.
“Sesetengah daripada aksi itu bakal membabitkan api yang memerlukan kami mendapatkan kebenaran pelepasan daripada penyedia lokasi terlebih dulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Manoharan, selain itu, mereka juga berdepan cabaran logistik bagi memindahkan peralatan persembahan yang mempunyai berat hampir dua tan.
“Peralatan itu dibawa masuk dari pelbagai lokasi, ia juga adalah set baru didatangkan khas untuk persembahan Riana di negara ini.
“Ada sesetengah daripada peralatan itu menggunakan pengangkutan logistik udara dan yang lainnya melalui air,” katanya.
Menurut Manoharan lagi, Mediaberg Productions memilih untuk melobi Riana memandangkan sudah banyak persembahan berunsur muzik dan konsert dari artis luar ke Malaysia.
Hiburan jarak dekat
“Mediaberg ingin membawa masuk kelainan dalam hiburan kepada penonton iaitu dengan menampilkan seorang pakar ilusi pula.
“Sebaik saja kami tahu Riana bakal mengadakan jelajah dunia, kami terus melobi untuk meyakinkan dia memilih Malaysia sebagai antara lokasi perdana,” katanya.
Untuk rekod, Riana atau nama sebenarnya Marie Antoinette Riana Graharani adalah artis persembahan berasal dari Indonesia.
Dia meraih populariti di persada dunia selepas terpilih menjadi juara musim kedua Asia's Got Talent pada 2017, selain British Got Talent pada 2019.
Riana, 30, juga merupakan salah seorang finalis pentas America's Got Talent: The Champion. Dengan keperibadian misteri, Riana bukan saja memenangi jutaan hati peminat dari seluruh dunia bahkah telah mendapat pengiktirafan dalam senarai berprestij Forbes 30 Under 30 Asia.
Persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu nanti dibuka kepada semua penonton yang berusia 7 tahun ke atas namun kanak-kanak mesti diiringi oleh orang dewasa.
Manoharan berkata, persembahan itu nanti merupakan peluang keemasan buat penonton menyaksikan aksi-aksi ilusi yang menakjubkan, di samping muslihat (trick) yang luar biasa berserta kejutan dari jarak dekat.
Tambahnya, pertunjukkan Riana merupakan sajian yang cukup baik khususnya bagi mereka yang menggemari persembahan bergenre seram dan mistik.
“Keterampilan The Sacred Riana dengan rambut panjang mengurai yang menutupi sebahagian mata kirinya beserta dengan patungnya sudah cukup menyeramkan.
“Selain itu, kemampuan Riana mempersembahkan dengan elemen supernatural atau mistik sudah tentunya akan membuat penonton terhibur,” katanya.