Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Irrfan Khan meninggal dunia
Diterbitkan:  Apr 29, 2020 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Pelakon terkenal India yang menempa kejayaan di Bollywood dan Barat, Irrfan Khan meninggal dunia selepas bertarung dengan komplikasi kesihatan disebabkan jangkitan kolon, hari ini.

Irrfan Khan yang menghembuskan nafasnya ketika berusia 53 tahun sehari sebelum itu dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Kokilaben, Mumbai.

Jurucakapnya berkata, Irfan menghabiskan saat-saat terakhirnya bersama isterinya Sutapa Sikdar, dua anaknya, Babil dan Ayan Khan serta keluarganya.

"Dia seorang lelaki yang tidak banyak berkata-kata dan aktor yang banyak melahirkan ekspresi melalui renungan mata yang tajam dan lakonannya di layar perak tak dapat dilupakan.

"Lebih menyedihkan bahawa hari ini, kita harus menyampaikan berita mengenai pemergiannya.

"Selepas dikejutkan dengan berita barah yang jarang berlaku, dia berjuang dalam banyak pertarungan untuk hidup.

"Kami semua berdoa dan berharap dia mendapat ketenangan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mac 2018, Irrfan Khan mendedahkan didiagnos dengan tumor neuroendokrin, namun selepas menjalani rawatan rapi, aktor terbabit akhirnya pulih dan berpeluang menjalani penggambaran filem terakhirnya, Angrezi Medium.

Naskhah tersebut sepatutnya ditayangkan pada Mac lalu namun ditangguh ekoran pandemik Covid-19.

Antara lain, Irrfan Khan terkenal kerana lakonannya sebagai pegawai polis dalam Slumdog Millionaire.

Irrfan Khan juga menjadi tulang belakang industri Bollywood, berlakon dalam filem hits lain seperti Haider dan Hindi Medium.

Irrfan sudah membintangi lebih 100 filem dan memenangi pelbagai anugerah hasil karya lakonan yang mantap.

Selain Slumdog Millionaire, Irrfan turut berlakon dalam Life of Pi, Jurassic World, dan The Amazing Spiderman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS