Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan meluahkan rasa kesal terhadap pihak yang mempersendakan rakaman suara takbir raya Aidilfitri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anggota Dewan Negara itu berkata tidak semua perkara perlu dijadikan bahan gurauan, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agama Islam.
“Bukan semua perkara perlu dibangkang, bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal,” katanya.
Terdahulu, tersebar di media sosial berkenaan video yang rakaman takbir raya Anwar yang disunting agar kedengaran perlahan (slow motion).

Pengguna itu melabelkan suara pemimpin negara itu seperti orang nazak (gambar paling atas) dan ada juga yang membandingkannya dengan video takbir dari Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang lebih merdu.
Menulis di media sosial hari ini, Zulkifli menegaskan bahawa takbir raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah SWT atas segala nikmat-Nya.
“Setelah sebulan berpuasa dan diberikan kesempatan beribadah dan menikmati bulan penuh hidayah - Ramadan, umat Islam melaungkan takbir dengan penuh gema kegembiraan.
“Ia juga sebagai lambang perpaduan dan kekuatan ummah kerana semua umat Islam bertakbir bersama di Malaysia dan seantero dunia.

“Kebersamaan yang ditonjolkan dalam takbir raya menjadi penyubur ukhwah dalam mengukuhkan hubungan sesama umat Islam, tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang,” ujarnya.
Zulkifli juga berkata setiap perbezaan pandangan bukanlah tiket untuk menjatuhkan sesama manusia ke tahap menghina.
“Berbeza pandangan tidak salah, namun jangan sampai tahap menghina, mengaib dan memfitnah, apa lagi dengan perkara berkait kesucian nama Allah SWT serta ketinggian Islam sebagai agama yang kita semua cintai.
“Bersesuaian dengan semangat takbir raya, ia seharusnya menyuntik semangat kita untuk terus komited dengan keyakinan kepada Islam, serta menjadikan kita sebagai Mukmin sejati, yang menampilkan akhlak dan adab yang tinggi,” katanya.