Gambar pelajar dan alumni Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai, Johor yang telah disunting secara tidak senonoh dilaporkan telah disebarkan di beberapa platform dalam talian.
Menurut laporan media, seorang pelajar perempuan mendakwa di media sosial seorang rakan sekelas lelaki menggunakan teknologi suntingan gambar untuk menghasilkan imej tidak senonoh dirinya dan menjual gambar tersebut dalam satu kumpulan sembang.
Sementara itu, Yong Hui Yi, pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, memaklumkan dia menemani beberapa mangsa untuk membuat laporan polis beberapa hari kebelakangan ini.
Salah seorang mangsa, yang difahamkan merupakan seorang alumni sekolah tersebut akan mengadakan sidang media pada 12 April (Sabtu) ini berhubung insiden tersebut.
Pihak Sekolah Menengah Foon Yew mengesahkan laporan polis telah dibuat oleh mangsa, dan pihak sekolah memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis selain turut menjalankan siasatan dalaman.
Dalam kenyataan rasmi di Facebook semalam, pentadbir sejolah itu baru-baru ini menerima laporan mengenai individu tidak dikenali yang telah menyebarkan gambar tidak senonoh yang telah disunting, sekali gus menjejaskan emosi dan menjatuhkan maruah mangsa.

"Mangsa telah membuat laporan polis. Sebaik sahaja aduan diterima, pihak sekolah terus melancarkan siasatan dalaman dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak polis," menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menegaskan sebagai sebuah institusi pendidikan, Sekolah Menengah Foon Yew berpegang teguh kepada prinsip menolak sebarang tingkah laku tidak bermoral dan tidak senonoh di kawasan sekolah, serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan teknologi dan internet untuk memudaratkan orang lain.
"Mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan seperti ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan sekolah," katanya.
Demi melindungi keselamatan serta privasi mangsa, pihak sekolah meminta orang ramai menghentikan penyebaran atau berkongsi maklumat dan kenyataan yang tidak sahih bagi mengelakkan mangsa terus mengalami trauma.