ADS
mk-logo
Berita
23 MP PN turun padang, dengar rintihan penduduk Kg Sungai Baru

Seramai 23 ahli parlimen PN menziarahi penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, susulan kontroversi pengambilan tanah di kawasan itu.

Kunjungan tersebut diketuai Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin merangkap Ahli Parlimen Larut, bertujuan mendengar sendiri taklimat dan rintihan penduduk yang terkesan dengan projek pembangunan di kawasan itu.

Program yang berlangsung pada jam 3 petang itu menampilkan pembentangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sementara Kg Sungai Baru, Zainab Alias, wakil penduduk Rafidah Ibrahim, dan penyelidik hartanah persendirian, Muzaffar Razman.

Dalam ucapannya, Hamzah memberikan komitmen untuk membawa isu ini ke Dewan Rakyat pada persidangan akan datang, sambil menyifatkan kehadiran ahli parlimen pembangkang itu sebagai ikhtiar mencari jalan penyelesaian terbaik untuk penduduk.

ADS

“Saya sebenarnya betul-betul keliru tentang apa yang berlaku sebenarnya.

"Tapi sebenarnya semasa belajar di UTM dulu, ada sebuah keluarga yang rapat dengan saya, selalu pergi rumah dia. Dia pun dah arwah. Jadi sebab itu ada juga sentimen, perasaan untuk membantu.

"Saya nak maklumkan ini bukan hanya kerja ahli parlimen, tapi ini adalah kerja kita bersama untuk memberikan sokongan membantu penduduk di sini akhirnya untuk dapat balik semula tanah.

"Sama ada kita melalui politik ataupun undang-undang, kita fikir yang mana lebih baik,” kata Hamzah.

ADS

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian), Idris Ahmad (Bagan Serai), Mohd Radzi Jidin (Putrajaya), serta Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Azman Nasruddin (Padang Serai) yang juga Pengerusi Portfolio Wilayah Persekutuan PN.

Presiden Putra, Ibrahim Ali, turut menyertai kunjungan hari ini.

Bukan pasal duit tapi pusaka warisan

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dengan sebahagian penduduk enggan berpindah, bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.

Menurut laporan portal The Vibes, projek pembangunan di kawasan itu bermula sejak 2016 dengan persetujuan 260 penduduk namun terhenti apabila 37 penduduk membantah. Pemaju kemudiannya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.

Namun laporan Malaysiakini menyebut seramai 219 pemilik telah bersetuju manakala 109 lagi masih mempertahankan hak mereka.

Cadangan piket Tok Him ditolak

Dalam sesi soal jawab, Ibrahim Ali mencadangkan agar penduduk mengadakan piket dan berkhemah di hadapan rumah atau pejabat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bagi menyuarakan tuntutan mereka.

ADS

Bagaimanapun wakil penduduk menolak saranan itu memberi alasan majoriti mereka warga emas yang uzur.

“Cadangan Tok Him (Ibrahim) bagus, kita tak nafikan. Cumanya saya perlu jelaskan di sini rata-rata penduduk Kg Sungai Baru senior citizen.

"Kasihanlah kat mak cik- pak cik kalau nak berkhemah depan rumah, pejabat PMX (Anwar) kasihan mak cik-pak cik.

"Kalau ada yang ada temujanji hospital, kena makan ubat, kencing manis ke, nanti bermasalah pula,” kata Rafidah.

Tuntut penjelasan status tanah MAS

Zainab Alias pula mendakwa beberapa bekas menteri dan wakil rakyat terdahulu menyebelahi pemaju, termasuk Annuar Musa, Shahidan Kassim, serta ahli parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun.

“Kami dah bagi tempoh berapa lama tiada siapa wakil rakyat pun jumpa kami, yang saya sedih YB Rina pun boleh sokong dengan pemaju, tanah kami dia sokong (pemaju), saya marah.

"Saya sebut satu lagi nama menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Annuar Musa, selepas itu jumpa Shahidan Kassim,” katanya.

Zainab turut menegaskan tanah kampung tersebut telah digazet sebagai Tanah Rizab Melayu (Malay Agricultural Settlement - MAS).

Justeru, dia menuntut Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa untuk memberikan penjelasan rasmi.

“Kalau menteri (Zaliha) kata tanah di sini bukan kata berstatus MAS, tunjukkan bukti.

“Sebab kami ada bukti, sebab itu kami berani failkan afidavit,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS