Paling Popular
Terkini

“Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia."

Rangkap ini saya pinjam daripada lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham P Ramlee. Lagu yang diperkenalkan dalam filem Hang Tuah terbitan tahun 1956. Cukup bermakna.

Minggu lalu ada satu berita dari Amerika Syarikat yang menarik perhatian ramai termasuk saya. Laporan mengenai Bridger Walker , seorang kanak kanak berusia enam tahun yang mempamerkan keberanian luar biasa .

Adik perempuan Walker diserang anjing ganas .Lalu Walker bertindak pantas melompat , meletakkan dirinya antara adiknya dengan anjing itu demi untuk menyelamatkan si adik . Lantas Walker digigit anjing dengan ganas. Adiknya terselamat .

Walker dan adiknya.

Namun Walker cedera parah dan memerlukan pembedahan yang mengambil masa dua jam. Dia menerima 90 jahitan dibahagian muka akibat gigitan anjing. Mujur Walker kini beransur pulih.

“Jika seseorang perlu mati saya fikir itu adalah saya," kata Walker kepada ayahnya ketika memberitahu mengapa dia bertindak berani menyelamatkan adiknya.

Itu pengorbanan seorang abang untuk adiknya.

Jerung ganas 'larikan diri'

Dua hari kemudian satu lagi berita menarik perhatian saya. Kisah keberanian seorang ayah pula di Australia.

Menurut laporan, si ayah bersama anak lelakinya berusia 10 tahun serta dua rakan menaiki bot pergi memancing di tengah lautan di persisiran Tasmania.

Ketika mereka di atas bot sambil membersihkan ikan yang mereka tangkap, seekor jerung tiba-tiba melompat dari permukaan lautan dan menarik budak berusia 10 tahun itu ke dalam laut.

Terkejut, si ayah dengan pantas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan anaknya. Mujur jerung melepaskan anak lelaki itu daripada cengkaman mulutnya dan beredar. Si anak terselamat.

Menurut pihak berkuasa kemungkinan jerung terkejut dengan tindakan lelaki itu terjun dari bot dan berenang ke arahnya. Lantas jerung yang biasanya ganas 'melarikan diri.’ Pelik dan aneh? Ya. Tapi benar.

Tanpa menghirau bahaya ke atas dirinya sendiri, si ayah bertindak menyelamat si anak. Pengorbanan seorang ayah untuk anaknya.

Kira kira 10 hari lalu saya baca pula satu berita siaran Malaysiakini yang memetik laporan Utusan Malaysia. Kisah politik tanah air. Nasihat buat orang kuat Umno oleh pemimpin veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah. Atau Ku Li seperti dikenali ramai. Beliau kini adalah pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Menurut laporan itu, Ku Li memberi pesanan atau menasihati presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden parti Najib Razak supaya “berkorban jika sayangkan orang Melayu.”

Pengorbanan yang beliau maksudkan ialah dengan memberi laluan kepada orang lain dalam kepimpinan Umno.”

“Beri jalan kepada orang lainlah”, Ku Lu dipetik berkata.

Pada pendapat beliau pengorbanan kedua dua pemimpin itu perlu kerana Umno dilihat “cacat” pada pandangan rakyat buat masa ini. Tengku Razaleigh tidak menghurai lanjut .

Bagaimanapun untuk rekod, Zahid sedang menghadapi hampir 50 pertuduhan di mahkamah termasuk membabitkan dakwaan pecah amanah.

Najib pula berdepan puluhan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ku Li dituduh mahu terajui Umno

Beberapa hari lalu beliau didapati bersalah berhubung kes SRC International membabitkan dana bernilai RM42 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Najib kini membawa kesnya ke mahkamah rayuan.

Apa pun pada hemat Ku Li , kedua dua pemimpin kanan Umno itu perlu melakukan pengorbanan jika mereka sayangkan orang Melayu seperti yang ditegaskan dalam Umno. Mereka, kata beliau, mesti mengutamakan Umno berbandingkan hal lain.

“Kalau tidak kita (Umno) tidak ke mana. Pengorbanan itu penting, dalam agama pun dituntut kepada pengorbanan, dalam masyarakat kita pun ada pengorbanan," kata Ku Li.

Sehingga kini belum ada reaksi Zahid mahupun Najib terhadap nasihat Ku Li. Tindakan dan gerak langkah kedua dua pemimpin berkenaan bagaimanapun tidak membayangkan nasihat itu akan dituruti.

Mungkin menurut mereka apa yang mereka lakukan sehingga kini sememang sebuah pengorbanan. Tapi penyokong kedua-dua pemimpin ada yang menuduh Ku Li mahu menerajui Umno dalam membuat nasihannya itu. Waullahualam.

Bercakap mengenai pengorbanan, tentunya pengorbanan yang paling besar ialah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah. Peristiwa besar itu sedang kita peringati .

Menurut golongan yang arif, pada segi bahasa korban bermaksud dekat manakala pada segi istilah bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Selamat Hari Raya korban.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS