Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kerajaan akhirnya membenarkan pengeluaran khas RM10,000 KWSP
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 5:35 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Kerajaan telah mengumumkan kebenaran untuk pencarum melakukan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan yang sedang membina semula kehidupan mereka.

“Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu,” katanya.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru, pada hari ini kerajaan bersetuju untuk membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya dalam pengumuman khas tengah hari ini.

Keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan yang sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," katanya.

Perincian mengenai pengeluaran simpanan terbabit akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS