Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan PERWIRA Super App yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat MINDEF ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
Aplikasi yang dibangunkan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Network dengan kerjasama Mastercard International itu bakal memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi.
Aplikasi Digital untuk Warga Pertahanan dan Veteran
“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan MINDEF.
“Antara fungsi yang disediakan melalui aplikasi ini adalah Perkhidmatan Kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan, Government Connect Module, mengintegrasikan ciri kesihatan dan kesejahteraan serta hab e-Learning,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, fungsi perkhidmatan kewangan yang diperkenal dalam aplikasi tersebut akan membolehkan pengguna menyemak status terkini gaji, dompet digital yang selamat, pembayaran bil dan analisis kewangan bagi meningkatkan literasi kewangan serta kesejahteraan pengguna.
Katanya, fungsi E-Marketplace pula akan membolehkan komuniti MINDEF membuat pembelian dalam talian di e-Marketplace dan PERNAMA Online Store.
“Pengguna juga akan mendapat diskaun eksklusif dan hadiah kesetiaan apabila menggunakan aplikasi tersebut dengan setiap pembelian melayakkan pengguna mengumpul mata seterusnya boleh ditebus untuk ganjaran istimewa,” katanya.
Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled turut meluncurkan Inisiatif Program JanaVeteran yang melibatkan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Inisiatif JanaVeteran menyasarkan manfaat kepada Veteran ATM yang telah bersara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menceburi bidang pertanian melalui beberapa buah program seperti Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran.
Ia juga merupakan langkah bagi membantu kerajaan memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan negara di samping membuka peluang kepada ahli veteran ATM menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani.
Keseluruhan, majlis ini telah berjaya mengumpulkan lebih 300 orang penyertaan yang terdiri daripada pengamal media dan komunikasi yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif pertahanan negara.
Hadir sama adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Pengerusi LTAT, YBhg Jeneral Tan Sri Dato; Sri Azizan bin Ariffin TUDM (Bersara); Pengerusi PERNAMA, YBhg. Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Abdul Aziz bin Hj. Zainal (Bersara) serta Editor Kanan.