Petaling Jaya, Selangor – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK SUPER MART) dengan jayanya telah menganjurkan majlis istimewa Berbuka Puasa pada hari Isnin, 24 Mac 2025 di Dewan Presiden, Kelab Golf Negara Subang (KGNS). Majlis ini diadakan untuk menghimpunkan rakan media dan rakan kongsi KK SUPER MART bagi meraikan bulan Ramadan serta menyaksikan tayangan perdana kempen video Raya KK SUPER MART yang dinanti-nantikan.

Sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, buat julung kalinya KK SUPER MART telah menghasilkan sebuah video yang membawa penonton untuk lebih memahami senario yang tersingkap dalam kehidupan manusia apabila melalui fasa tua. Video bertajuk Kesetiaan Kasih Mama ini membawa mesej jelas bagaimana nyanyuk, dementia atau alzhemier yang bermula secara perlahan tanpa disedari mampu menguji nilai-nilai kemanusiaan seseorang.
Kempen video Raya ini memperlihatkan bagaimana komitmen KK SUPER MART sentiasa aktif menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial koporat. Usaha murni walaupun kecil namun berterusan ini tidak hanya fokus kepada satu aspek sahaja malahan akan terus menerokai peluang baru yang ternyata memberi impak positif kepada perhubungan sosial . Merupakan perkara baru dalam bidang ini maka KK SUPER MART mengambil peluang pada tahun 2025 ini untuk bersama mengajak masyarakat menyokong usaha membantu individu yang menghidap penyakit Alzheimer.
Dalam ucapannya kepada pihak media semasa majlis tersebut, Datuk Seri Dr. KK Chai, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, menyatakan komitmen untuk bersama Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha menjayakan kempen kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit ini.

“Saya percaya bahawa hubungan sosial yang baik membantu kesihatan fizikal kita dengan baik. Sebagai contoh, kita dapat melihat perubahan yang ketara terhadap keupayaan mental dan sosial pesakit dementia atau alzhemier ini namun sejauh mana kita dan orang sekeliling kita seperti ahli keluarga, rakan dan komuniti dapat membantu? Apa peranan kita? Maka adalah wajar dan tidak salah syarikat korporat seperti KK SUPER MART turut membantu”, ujarnya.
Menurut Datuk Seri lagi sejumlah RM100 ribu akan diperuntukkan untuk kempen ini. Ini termasuklah perancangan untuk menjadikan beberapa cawangan KK SUPER MART sebagai ruang mesra demensia dimana ADFM berupaya memberi pendedahan secara khusus bagaimana memenuhi keperluan individu yang hidup dengan demensia. Selain itu, syarikat akan turut bekerjasama dengan Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-Care) UKM bagi membolehkan universiti ini menjalankan penyelidikan. Usahasama ini termasuklah menyokong keperluan kewangan bagi mahasiswa dan pensyarah menjalankan kajian dan aktiviti dalam dan luar kampus. Antara inisiatif lain ialah lawatan ke rumah keluarga pesakit, menyalurkan barang keperluan asas, menganjurkan taklimat kesedaran dan banyak lagi.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Hasmah Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif ADFM bersama ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah. Turut hadir bersama Dr Sumayah Mat dari Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) UKM serta barisan wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kedua-dua institusi ini antara yang memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan dan sokongan penjagaan demensia.

Para tetamu turut disajikan dengan tayangan perdana kempen video Raya KK SUPER MART yang mengetengahkan tema kekeluargaan dan tradisi yang menjadi teras musim perayaan ini. Kempen tersebut menerima tepukan gemuruh daripada hadirin dan menyerlahkan lagi usaha KK SUPER MART untuk berhubung dengan pelanggan sambil membuat perubahan positif kepada masyarakat. KK SUPER MART kini mempunyai 942 cawangan di seluruh Malaysia. Sentiasa peka dengan keperluan pelanggan, KK SUPER MART dilihat satu jenama tempatan yang berupaya memberikan kemudahan kepada pelanggan tanpa had masa selama 24 jam.
KK SUPER MART mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan media, rakan kongsi dan tetamu atas kejayaan majlis ini. Syarikat berhasrat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat sambil meraikan warisan budaya Malaysia yang berbilang kaum.
Kandungan ini disediakan oleh KK Supermart & Superstore Sdn Bhd
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my