Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kisah Tok Exin, atlet gimnastik wanita terakhir wakili Terengganu

WAWANCARA | Mengalami kecederaan dan ketiadaan sokongan rakan-rakan sepasukan antara faktor atlet gimnastik Terengganu, Tok Exin, 17, tidak meneruskan kariernya.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Selangor itu satu-satunya atlet gimnastik wanita dan yang terakhir mewakili Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia 2022.

Ini semua susulan larangan kerajaan negeri pimpinan PAS terhadap atlet muslim daripada menyertai sukan itu atas faktor pemakaian.

Terengganu mula mencungkil bakat gimnastik pada 2008 selepas menjadi tuan rumah Sukma.

Pasukan gimnastik wanita Terengganu mempunyai 10 orang ahli pada asalnya, dan untuk setiap kejohonan kebiasaannya mereka menghantar enam atlet.

Dalam temuramah bersama Malaysiakini yang turut dipantau ibunya, Exin mengakui sekatan terhadap rakan-rakannya yang beragama Islam sedikit sebanyak menjadi faktor dia tidak meneruskan kegiatan gimnastik.

Malah katanya, perkara itu turut mempengaruhi emosi dan fikirannya.

"Semasa pertandingan dijalankan, saya tidak ada rakan sepasukan yang memberi sokongan moral banding pasukan lain. Semangat berpasukan yang positif perlu sangat penting dan perlu ditekankan.

"Saya berasa sangat sedih dan kasihan apabila dapat tahu saya tidak boleh bertanding bersama rakan-rakan. Rasa sayang sekali, sebab saya mengetahui rakan-rakan sepasukan sudah berlatih bersungguh-sungguh untuk hadapi Sukma 2022 tetapi tidak ada rezeki untuk bertanding.

"Walaupun kami tidak berlatih bersama lagi ketika itu, kami masih berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp. Kami mengekalkan hubungan yang baik sesama sendiri," katanya dalam temubual melalui aplikasi WhatsApp.

Berkongsi cerita mengenai pengalamannya sepanjang menceburi gimnastik, Exin berkata, dia menjalani latihan sejak berusia lapan tahun bermula tahun 2014 hingga 2023.

"Saya berlatih dengan jurulatih dari negara China di Terengganu sehingga tahun 2017. Kemudian, saya dan keluarga berpindah ke Selangor dan meneruskan latihan gimnastik di sini. Pada tahun 2018 dan 2022 saya dipilih untuk wakil negeri Terengganu menyertai Sukma.

"Dalam persiapan beraksi di Sukma saya mengalami kecederaan di bahagian dahi dua minggu sebelum pertandingan dan mendapat rawatan dengan lapan jahitan. Saya bernasib baik kerana ia pulih dengan cepat dan sempat membuka jahitan di dahi sehari sebelum Sukma berlangsung.

"Tetapi keadaan itu tetap mempengaruhi latihan saya pada minggu tersebut," katanya yang meraih tempat keempat kategori balance beam (titian batang) pada Sukma 2022.

Sementara itu Exin berkata, dia juga mengalami kecederaan serius apabila patah di bahagian buku lali (anterior talofibular ligament) pada Mac lalu dan dinasihati doktor supaya berehat tiga bulan.

"Walaupun selepas tiga bulan dan keadaan saya pulih sepenuhnya, namun mental saya masih terganggu. Masa untuk latihan gimnastik sangat penting, saya menjalankan latihan antara empat hingga lima kali seminggu, walaupun kawan-kawan lain bercuti saya masih perlu kekalkan latihan untuk kecergasan stamina dan kekuatan saya.

"Disebabkan insiden itu berlaku, saya terpaksa berehat dalam tempoh masa yang agak panjang; saya tidak yakin untuk berlatih dengan kaki yang cedera dan tetap risau kecederaan itu membawa kesan sampingan pada masa hadapan," katanya yang turut aktif sebagai flyer pasukan sorak (cheerleading).

Exin turut dipanggil menjalani latihan persediaan wakili negara berdepan temasya Sukan SEA Cambodia 2023, namun panggilan itu dibatalkan selepas dimaklumkan acara gimnastik artistik tidak dipertandingkan kali ini.

Fokus SPM

Selain gimnastik, Exin turut aktif mengambil bahagian dalam sukan lain dan seperti larian dan mewakili sekolah dan peringkat majlis sukan sekolah-sekolah Selangor (MSSS) dalam sukan lompat jauh dan lompat kijang.

Dalam perkembangan itu ibunya yang mahu dikenali sebagai Li berkata dia dan suami memberi sokongan penuh sepanjang penglibatan Exin dalam bidang sukan, namun mereka tetap mengutamakan pencapaian akademik.

Menurutnya, keputusan anaknya untuk berhenti mewakili pasukan Terengganu juga diambil supaya dapat memberi tumpuan kepada pelajaran menjelang peperiksaan sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Tok Exin bersama ibunya ketika masih kecil

"Dalam kegiatan sukan ini sokongan keluarga amat penting, sebagai ibu bapa kami sokong sepenuhnya keputusan anak, Jadi Exin berhenti dulu (gimnastik) setakat ini, tapi tak pasti berhenti terus ke tak sebab dia masih berminat.

"Jadi fokusnya sekarang adalah untuk SPM," katanya.

Tambah Li, dia juga mahu mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang banyak memberi peluang dan menyokong karier anaknya sebagai atlet gimnastik.

"Saya dan keluarga amat berterima kasih atas jasa dan sokongan pihak MSNT kerana memberi peluang kepada Exin sepanjang penglibatannya dalam sukan gimnastik selama ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS