Penceramah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai sebagai ujian.
Menulis di Facebook susulan keputusan itu, dia yang dikenali sebagai ustaz Abu Syafiq mengucapkan syukur dengan ujian tersebut.
“Alhamdulillah untuk diri sendiri. Nak kena cari RM2.5 juta pula.
“Korek tabung vaksinlah jawabnya. Ok nanti saya cari ya, syukur dengan ujian,” katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Khairy memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah difailkan Khairy, 49, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selaku plaintif terhadap Mohd Rasyiq, 45, sebagai defendan.

Hakim itu turut memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada plaintif.
Pada 25 Jan 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Okt 2021 serta pada 6 dan 10 Jan 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya dia berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
