Ahli akademik, Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi meluahkan rasa kecewa berhubung penahanan dua editor kanan akhbar harian Sin Chew, berkata dia berasa amat malu menjadi rakyat Malaysia.
“Insiden ini mengukuhkan kepercayaan saya sejak sekian lama bahawa negara kita berada di ambang menjadi sebuah negara gagal – atau mungkin sudah pun jatuh ke dalam jurang tanpa penghujung,” katanya kepada Malaysiakini.
Tajuddin (gambar bawah) juga berkata dia tidak setuju tindakan akhbar berbahasa Cina itu yang menggantung tugas dua editornya ekoran kesilapan tidak sengaja menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.
Profesor seni bina itu berkata tindakan Sin Chew memohon maaf, membetulkan kesilapan dan komited untuk menilai semula prosedur penggunaan kecerdasan buatan (AI) itu seharusnya dianggap mencukupi.

“Bagaimana kita mahu menjadi sebuah keluarga yang tidak membenarkan sebarang kesilapan? Bagaimana kita menjadi keluarga atau negara yang tidak memberi ruang untuk belajar, tiada rahmat untuk pembetulan diri?
“Keluarga, syarikat atau negara jenis apa yang meninggalkan prinsip bahawa melakukan kesilapan itu sifat manusia dan memaafkan itu sifat ketuhanan,” soalnya.
Tajuddin berkata walaupun ramai pihak sering menyebut soal “ketuhanan” namun jelas terdapat kekurangan ketara dari segi “belas ihsan”.
Menurutnya, pihak yang berpegang dengan sifat keras hati “jangan memaafkan" dan terus-menerus menuntut tindakan “balas dendam” itu gagal mengambil iktibar daripada beberapa insiden terdahulu termasuk kontroversi KK Mart, isu Era FM dan kes pemindahan kuil.

“Saya tertanya-tanya agama mana yang ajar penganutnya prinsip 'jangan memaafkan' itu?
“Nabi Muhammad sendiri memaafkan mereka yang menyusahkannya dengan teruk di Taif.
“Saya ambil inspirasi daripada Nabi saya, tetapi saya tertanya-tanya, mereka yang menuntut 'balas dendam' – dari mana mereka belajar agama mereka?
“Benar, hari ini saya rasa malu dipanggil rakyat Malaysia,” tegasnya.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan ketua editor dan timbalan ketua subeditor Sin Chew Daily ditahan untuk membantu siasatan dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, kedua-dua mereka memberi keterangan selama tiga jam di Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman.
Polis turut memaklumkan sebanyak 40 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung insiden tersebut.
